Perhilitan kenal pasti rangkaian sindiket terlibat seludup kura-kura

Pihak berkuasa memulangkan semula 5,193 kura-kura yang dirampas ke Malaysia pada hari yang sama - Foto: Bernama
Pihak berkuasa memulangkan semula 5,193 kura-kura yang dirampas ke Malaysia pada hari yang sama - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyiasat rangkaian sindiket jenayah hidupan liar yang terlibat dalam cubaan seludup lebih 5,000 kura-kura telinga merah dari Malaysia di Lapangan Terbang Chennai, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebelum ini pihaknya menerima laporan berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar rentas sempadan terbabit.

"Dalam kejadian itu, dua individu warga India telah ditahan oleh pihak berkuasa India setelah tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Jabatan Perhilitan sedang dalam siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket jenayah hidupan liar rentas sempadan yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya percaya kes ini mempunyai kaitan dengan rampasan yang dijalankan pada September lalu.

"Penyeludupan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan 4,986 ekor kura-kura telinga merah yang berlaku pada bulan September di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pihak kastam India berjaya menggagalkan cubaan seludup lebih 5,000 kura-kura telinga merah dari Malaysia di Lapangan Terbang Chennai.

Dua penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan bersama individu yang menanti untuk menerima kargo berkenaan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa India kemudiannya memulangkan semula 5,193 kura-kura yang dirampas ke Malaysia pada hari yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!