DAP Pulau Pinang beri sumbangan kepada tiga negeri dilanda banjir

Steven (kiri) melepaskan misi bantuan banjir oleh DAP Pulau Pinang ke Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Sabtu.
Steven (kiri) melepaskan misi bantuan banjir oleh DAP Pulau Pinang ke Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

GEORGE TOWN - DAP Pulau Pinang berjaya mengutip sumbangan tunai sebanyak RM98,107 untuk disalurkan kepada tiga negeri yang dilanda banjir iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah tersebut, untuk fasa pertama, setiap negeri akan disalurkan sebanyak RM20,000.

"Jumlah kutipan sumbangan tunai yang berjaya dikumpul ialah sebanyak RM98,107. Memandangkan akan berlaku gelombang banjir kedua, maka sumbangan ini akan digunakan secara berfasa untuk bantuan banjir.

Tiga buah lori kontena bersaiz 20 kaki dan satu bersaiz 40 kaki dengan keseluruhan muatan barangan 100 tan telah dihantar untuk misi bantuan mangsa banjir di tiga buah negeri.
Tiga buah lori kontena bersaiz 20 kaki dan satu bersaiz 40 kaki dengan keseluruhan muatan barangan 100 tan telah dihantar untuk misi bantuan mangsa banjir di tiga buah negeri.

"Bagi fasa pertama, kami akan menyalurkan RM20,000 kepada setiap negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000.

"Baki selebihnya akan digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja bantuan pasca banjir dan jika berlaku banjir gelombang kedua," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya lagi, dana tunai yang diterima akan digunakan untuk memenuhi keperluan tambahan seperti pembelian barang-barang kritikal dan logistik penghantaran.

Tambah Steven, selain wang tunai dan makanan harian, pihaknya juga telah menerima 101 periuk nasi, 500 bantal, 500 tilam, 2204 kain linen, 1,200 helai tuala, 9,000 biji telur dan 200,000 botol air minuman.

Artikel Berkaitan:

"Semua barangan telah dimuatkan dalam tiga buah lori kontena bersaiz 20 kaki dan satu bersaiz 40 kaki dengan keseluruhan muatan barangan 100 tan. Terima kasih kepada semua penderma dan sukarelawan yang telah memberikan sokongan padu dalam Misi Bantuan Banjir DAP untuk Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

"Sejak daripada awal pelancaran sehingga kini, DAP Pulau Pinang telah menerima kutipan sumbangan yang sangat memberangsangkan daripada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.

"Usaha mereka ini menunjukkan bahawa semua rakyat Malaysia bersatu padu dalam usaha ingin membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri ini," jelasnya.

Steven berkata, semua sumbangan akan dihantar ke kawasan terjejas pada Sabtu melalui kerjasama dengan rangkaian sukarelawan tempatan dan rakan strategik DAP Pulau Pinang.

"Kami berharap bantuan ini akan meringankan beban mangsa yang sedang dalam fasa pemulihan daripada bencana banjir ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!