Benteng pemecah ombak minimumkan kerosakan akibat hakisan pantai
KUALA TERENGGANU - Pembinaan benteng pemecah ombak yang kini giat dijalankan melibatkan kawasan hakisan pantai di negeri ini mampu meminimumkan kerosakan terutama sepanjang musim tengkujuh.
Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin berkata, masalah yang ketara hampir saban tahun itu dapat diatasi sekiranya pembinaan projek itu dapat disiapkan segera.
"Pembinaan benteng tersebut berkesan dalam mengurangkan kekuatan tenaga ombak ketika menghampiri pesisir pantai.
"Dengan adanya struktur itu, ia sekali gus dapat mengurangkan risiko kerugian harta benda penduduk yang tinggal di sepanjang garis pantai ketika ini," katanya ketika kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Jelas beliau, analisis dijalankan sebelum ini mendapati kadar hakisan pantai adalah antara 3 hingga 5 meter setiap tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia dapat dikurangkan dan diselamatkan dengan pembinaan benteng pemecah ombak.
"Masalah hakisan pantai dekat UMT sendiri dapat dikawal lebih awal apabila benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2016," katanya.
Dalam pada itu ditanya antara faktor utama kerosakan akibat hakisan pantai kali ini, katanya, kesan La Nina yang memberi kekuatan halaju angin lebih kuat antara punca berlakunya kerosakan itu.
"Kesan La Nina secara tidak langsung membentuk ombak yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Kita lihat, kerajaan telah menyediakan langkah penyelesaian terbaik dengan membina benteng pemecah ombak namun ia gagal mencegah hakisan kerana ada antaranya masih belum siap dengan sempurna.
"Jadi, kita harap semua projek pemecah ombak sedang dibangunkan dapat disiapkan segera bagi mengelak berlakunya hakisan lebih buruk terutama ketika musim tengkujuh tahun depan," katanya.
Beliau memberitahu, kira-kira 48 dari 244 kilometer jajaran pantai dari daerah Besut hingga Kemaman berisiko 'hilang' akibat faktor hakisan dan tiada penyelesaian segera diambil.
Sebelum ini, saintis meramalkan peta garis pantai global bakal berubah berikutan fenomena hakisan yang semakin kritikal berlaku di seluruh dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!