420 projek prapelaksanaan, 17 projek dalam pelaksanaan di Sabah di kategori 'sakit'

Fadillah (dua dari kiri) menyerahkan dokumen projek siap kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (tiga dari kanan) pada majlis serahan projek siap di SICC, Kota Kinabalu.
Fadillah (dua dari kiri) menyerahkan dokumen projek siap kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (tiga dari kanan) pada majlis serahan projek siap di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 420 projek dalam prapelaksanaan dan 17 projek pembangunan asas yang sedang dilaksanakan di Sabah dikategorikan sebagai 'projek sakit'.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ada sebahagian 420 projek yang dalam prapelaksanaan sebenarnya lewat dikemas kini walaupun projek itu sudahpun bermula.

"Projek sakit tak banyak sebenarnya, 17 projek tetapi yang dalam prapelaksanaan itu lebih banyak lebih kurang 420 itu yang kita nak fokuskan.

"Daripada 420 projek itu ada sudah bermula pun tetapi masalahnya lambat untuk dikemas kini laporan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebab itu ia dimasukkan dalam program prapelaksanaan walhal sudahpun dilaksanakan.

"Jadi dengan mesyuarat kordinasi yang dilakukan tadi kita mendapat maklumat terkini daripada 420, sebahagian projek itu sudahpun bermula di tapak, ada yang masih dalam proses tender baru dikeluarkan surat setuju terima (SST), ada masih dalam penilaian dan sebagainya. Jadi diharap tahun depan fokusnya kepada projek itu dapat dilaksanakan," katanya.

Beliaiu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) kepada Kerajaan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata, bagi mempercepatkan projek berkenaan turut dicadangkan pelan pra-diluluskan (PAP) yang sudahpun dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Ini supaya JKR akan kongsikan kepada JKR Sabah dan dengan PAP yang banyak ini kita boleh kenal pasti sama ada Sistem Binaan Berindustri (IBS) boleh digunakan untuk mempercepatkan penyiapan projek-projek ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bercakap mengenai majlis yang dihadiri, beliau memaklumkan sebanyak enam projek siap melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan bernilai RM65.5 juta diserahkan kepada kerajaan Sabah.

Katanya, penyerahan ini melibatkan tiga projek tebatan banjir, satu projek pemuliharaan muara, satu projek mencegah hakisan pantai dan satu projek menaik taraf rumah pam.

"Dengan pelaksanaan dan penyiapan 3 projek tebatan banjir ini, seluas 1,403 hektar kawasan banjir dapat dikurangkan dan seramai 20,000 penduduk dapat manfaat dan dilindungi daripada risiko banjir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!