Ahmad Zahid akan bawa cadangan ke Kabinet, tukar nama asal SJKC Gamuda Cove

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucaptama pada Sambutan Ulang Tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucaptama pada Sambutan Ulang Tahun ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan membawa cadangan penukaran nama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gamuda Cove kepada nama asalnya, SJKC Tun Ong Yoke Lin ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu tidak melibatkan isu perkauman tetapi penggunaan nama asal yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Saya amat bersetuju apa (cadangan) dilontarkan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong kerana pandangan beliau adalah pandangan MCA, yang minta SJKC Tun Ong Yoke Lin untuk dikembalikan semula.

"Ini bukan soal perkauman, ia melibatkan di mana ketika itu nama tersebut telah dipersetujui. Insya-ALLAH saya sendiri akan bawa (cadangan) ke Kabinet," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Terdahulu Ka Siong dalam ucapannya mempersoalkan penukaran nama sekolah yang telah diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Oktober 2017 itu digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove, 4 Disember lalu.

Ka Siong berkata, Tun Ong Yoke Lin adalah pengasas MCA dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan, malah merupakan menteri dalam Kabinet Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

“Tidak layakkah Tun Omar Ong Yoke Lin diberi pengiktirafan oleh negara? Keputusan ini telah pun dimaklumkan kepada balu (beliau) iaitu Toh Puan Aishah Ong pada tujuh tahun lalu.

“Media juga telah melaporkan keputusan KPM (Kementerian Pendidikan) pada 2017 tersebut. Di mana keadilan sejagat buat pemimpin BN Tun Ong Yoke Lin,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!