Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim beroperasi semula minggu depan

Amir Hamzah (kiri) ketika melawat menara kawalan LTSAH bagi meninjau kerja-kerja pemulihan kawasan terjejas banjir.
Amir Hamzah (kiri) ketika melawat menara kawalan LTSAH bagi meninjau kerja-kerja pemulihan kawasan terjejas banjir.
A
A
A

ALOR SETAR - Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTAH) dijangka akan beroperasi semula minggu depan setelah ditutup sejak 29 November lalu akibat banjir.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembukaan semula LTAH itu bergantung kepada kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) sekiranya disahkan landasan selamat digunakan.

Menurutnya, setakat ini, usaha pemulihan kawasan terjejas berjalan lancar dan tidak menolak kemungkinan kembali beroperasi minggu depan berdasarkan tinjauan dilakukan dalam lawatan kerja ke Kedah.

Kerja-kerja pemulihan dan pembaikan kawasan sekitar LTSAH giat dijalankan.
Kerja-kerja pemulihan dan pembaikan kawasan sekitar LTSAH giat dijalankan.

"Saya mengambil peluang melawat LTSAH, InsyaALLAH minggu depan ia akan dibuka. Namun bergantung kepada CAMM dan MAHB jika sudah disahkan selamat digunakan," katanya selepas meninjau kerosakan infrastruktur pengairan MADA dan tanaman padi di Kuala Sungai Baru di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, Pengurus LTSAH, Ikram Alif Mansoor memaklumkan, landasan tersebut dijangka dibuka pada Isnin depan.

Menurutnya, aspek keselamatan diberikan keutamaan sebelum perkara itu dimuktamadkan.

"Kita telah maklumkan mengenai penutupan landasan sehingga esok, jadi kita akan cuba membuka landasan secepat mungkin, sekiranya tidak dibenarkan lagi mungkin akan tambah sedikit masa sehari, dua sebelum boleh beroperasi semula,” katanya ketika ditemui di LTSAH pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ikram berkata, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan pembaikan peralatan turut dilakukan.

“Fokus utama sekarang untuk membersihkan tempat kritikal iaitu kawasan kapal terbang mendarat, setakat ini ia sudah dibersihkan sepenuhnya," ujarnya.

Menurutnya lagi, pihaknya perlu menguji beberapa perkara bagi menilai kerosakan yang berlaku akibat banjir, namun setakat ini tiada kerosakan besar dikesan.

"Landasan kapal terbang ini sejauh 2.7 kilometer (km) dan ketika banjir kawasan landasan ditenggelami air sedalam 50 sentimeter (cm), kawasan laluan teksi 80 cm dan kawasan apron hanya 4 cm.

"Sepanjang tempoh penutupan landasan, banyak penerbangan terpaksa dibatalkan. Sehari dianggarkan 20 hingga 24 penerbangan masuk dan keluar dari Alor Setar,” jelasnya.

Pada 29 November lalu, Malaysia Airport memaklumkan landasan LTSAH ditutup sementara berikutan keadaan banjir yang semakin buruk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!