Titah adendum ada atau tidak? - Ka Siong
KUALA LUMPUR - MCA mempersoal kewujudan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya hanya memerlukan jawapan ada atau tidak titah berkenaan memandangkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit pada 9 April lalu.
“Bermula dengan afidavit Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid), disusuli dengan Menteri Besar Pahang dan terbaharu Datuk Nizar Najib.
“Apabila saya baca, saya kata apa ini? Ada atau tidak (titah adendum)? Jangan putih dihitamkan, hitam diputihkan. Hakikatnya, ada atau tidak? Jawapannya mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Jubli Emas ke-50 BN yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Dalam hal berkenaan, Ka Siong turut menggesa agar pimpinan BN untuk terus memperjuangkan hak keadilan buat Najib.
Sehubungan itu, Ka siong mengingatkan jika benar titah adendum itu wujud, beliau mahu semua pemimpin BN berpegang kembali kepada tiga daripada lima Rukun Negara.
Antaranya, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
“Penyelesaiannya berdasarkan tiga prinsip ini, sudah ada jawapan. Sudah terang lagi bersuluh,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!