Sultan Nazrin zahir gembira, puas hati potensi REE di Perak

Sultan Nazrin menitahkan agar pembangunan industri REE di negeri ini diperkukuh dengan kerjasama Kerajaan Pusat terutama dari segi kepakaran dan dana.
Sultan Nazrin menitahkan agar pembangunan industri REE di negeri ini diperkukuh dengan kerjasama Kerajaan Pusat terutama dari segi kepakaran dan dana.
A
A
A

GOPENG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan dan potensi industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) negeri ini.

Penzahiran itu berikutan kejayaan penubuhan makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama di Malaysia, Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) di Simpang Pulai dan pencapaian operasi kilang pusat pemprosesan (CPP) secara percubaan (POC), Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, baginda menitahkan agar pembangunan industri itu diperkukuh dengan kerjasama Kerajaan Pusat terutama dari segi kepakaran dan dana.

"Tuanku menyatakan baginda berpuas hati dan gembira dengan kedua-duanya. Tuanku juga bertitah untuk kerajaan negeri menjalin usahasama dengan kerajaan Persekutuan.

"Insya-ALLAH kita akan memulakan langkah-langkah ini yang disebutkan sebagai game changer (pengubah keadaan)," katanya kepada pemberita sempena keberangkatan Sultan Nazrin ke TML dan Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd di sini, pada Sabtu.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara dibawa melawat fasiliti dan pengoperasian TML di Simpang Pulai pada Sabtu.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara dibawa melawat fasiliti dan pengoperasian TML di Simpang Pulai pada Sabtu.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim itu turut disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Saarani berkata, setakat ini kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan RM20 juta kepada Kementerian Kewangan bagi menjalankan eksplorasi terperinci berkaitan NR-REE dan mineral-mineral lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd juga telah menghantar permohonan mendapatkan dana daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sultan Nazrin zahir rasa gembira dan puas hati terhadap penubuhan TML dan kejayaan operasi Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd.
Sultan Nazrin zahir rasa gembira dan puas hati terhadap penubuhan TML dan kejayaan operasi Syarikat Malaco Mining Sdn Bhd.

"Jadi kalau (kerajaan) Persekutuan boleh beri RM20 juta dan lebih lagi (peruntukan) dari semasa ke semasa, sudah tentu kita boleh melakukannya dengan lebih lagi.

"Buat masa ini, Malaco (syarikat) berjaya hasilkan empat elemen REE yang mana telah dibuktikan menerusi analisis di TML bahawa kandungannya itu 44 peratus antaranya ada HR-REE (heavy rare earth element).

"Itu bermakna kita boleh teroka lagi untuk hasil-hasil yang lebih tinggi," katanya.

Saarani bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
Saarani bercakap kepada pemberita pada Sabtu.

Sementara itu, Lih Kang berkata, kementeriannya sedia memberi kerjasama yang baik terhadap pembangunan REE di Perak memandangkan ia satu industri penting untuk negara ke arah perindustrian berimpak tinggi dan berkembang pesat.

"Kementerian memang ada sedia peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dalam hal ini, sudah semestinya kita akan beri pertimbangan sewajarnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!