Presiden Korea Selatan 'terselamat' daripada dipecat

Penunjuk perasaan mendesak penyingkiran Suk Yeol selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada awal minggu lalu. - Foto Agensi
Penunjuk perasaan mendesak penyingkiran Suk Yeol selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada awal minggu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

SEOUL - Usul pemecatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sabtu berdepan kegagalan selepas anggota Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinannya memboikot proses pengundian tersebut meskipun protes mega berlangsung di luar Parlimen.

Puak pembangkang yang memegang 192 daripada 300 kerusi mengemukakan usul tersebut yang memerlukan sekurang-kurangnya 200 undi untuk diluluskan.

Tetapi, hampir kesemua 108 anggota PPP melangkah keluar dari dewan tersebut sebelum sesi pengundian bermula hingga mencetuskan suasana agak riuh apabila ahli pembangkang mengecam tindakan tersebut.

Difahamkan, hanya tiga orang anggota PBB terlibat proses itu dan memaksa Speaker Parlimen, Woo Won-shik bersuara dan meminta PPP supaya kembali demi melindungi demokrasi negara tersebut susulan pengisytiharan undang-undang tentera singkat awal minggu lalu.

Kegagalan untuk menyingkirkan Suk Yeol dikhuatiri akan mencetuskan kemarahan kira-kira 150,000 peserta protes yang menuntut proses itu.

"Walaupun kami tidak mendapat keputusan yang diharapkan. Ia masih belum mematahkan semangat kami," kata Jo Ah-gyeong, 30, yang merupakan salah seorang penunjuk perasaan.

Jika usul itu diluluskan, Suk Yeol bakal digantung tugas sementara menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!