Republik Dominika rampas 9.5 tan dadah, terbesar dalam sejarah

Pihak berkuasa Republik Dominika menemui 320 beg mengandungi dadah jenis kokain dengan berat 9,588 kilogram. - Gambar Reuters
Pihak berkuasa Republik Dominika menemui 320 beg mengandungi dadah jenis kokain dengan berat 9,588 kilogram. - Gambar Reuters
A
A
A

SANTO DOMINGO - Pihak berkuasa Republik Dominika berjaya merampas 9.5 tan dadah jenis kokain, yang merupakan rampasan terbesar dalam sejarah negara itu, dengan nilai anggaran mencecah AS$250 juta (RM1.11 bilion).

Menurut jurucakap Agensi Kawalan Dadah Kebangsaan Republik Dominika, Carlos Devers, dadah berkenaan ditemui di dalam sebuah kontena penghantaran pisang yang tiba di Pelabuhan Caucedo, Santo Domingo, dari Guatemala.

“Hasil siasatan awal mendapati kontena itu tiba dari Guatemala. Beberapa individu yang tidak dikenali dipercayai cuba memindahkan dadah ke kontena lain yang dijadualkan dihantar ke Belgium,” katanya pada sidang media, Jumaat waktu tempatan.

“Ini adalah rampasan terbesar dalam sejarah kami,” kata Devers dalam sidang media pada Jumaat.

Tambahnya, sepuluh suspek telah ditahan dalam operasi tersebut.

Setakat ini, pihak berkuasa negara itu telah merampas hampir 47 tan dadah pada tahun ini sahaja.

Sebelum ini, rampasan terbesar yang pernah direkodkan adalah sebanyak 2.6 tan pada tahun 2006 di pelabuhan yang sama.

Republik Dominika kekal sebagai salah satu laluan utama transit dadah di rantau Caribbean.- Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!