10 tradisi unik di seluruh dunia

No Image Caption
A
A
A

SETIAP negara mempunyai adat dan budaya tersendiri yang telah diamalkan selama berabad. Ada juga tradisi yang pelik dan mungkin tidak terjangkau dek akal pada era zaman moden.

Amalan tersebut turut menjadi identiti sesebuah masyarakat dan diturunkan daripada generasi ke generasi. Ia turut mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tinggi, malah terus dipraktikkan hingga kini. Berikut adalah 10 tradisi unik di seluruh dunia.

1. La Tomatina (Sepanyol)

Festival tahunan terbesar ini diadakan di Bunol pada Rabu terakhir bulan Ogos. Orang ramai akan melemparkan buah tomato ke arah satu sama lain dalam suasana bersuka ria. Pelbagai teori tentang tercetusnya acara perang tomato yang dikatakan bermula pada 1945, berpunca daripada amukan orang ramai pada masa itu. Perang tomato kemudiannya menjadi tradisi di Sepanyol hingga hari ini.

2. Pecahkan kelapa guna kepala (India)

Ia merupakan sebahagian acara penting ketika Festival Aadi Perukku yang disambut setiap musim monsun di beberapa bahagian di selatan India. Acara tersebut dilakukan sami untuk memohon kejayaan dan kesihatan yang baik. Asal usul tradisi itu dikatakan bermula ketika zaman penjajahan British apabila penduduk diminta memecahkan kelapa dengan kepala mereka sebagai syarat untuk tidak meruntuhkan kuil pada masa itu.

No Image Caption

3. Festival Telur Hancur (Bosnia)

Artikel Berkaitan:

Komuniti di Zenica, Bosnia meraikan Festival Cimburijada atau telur hancur ketika bermulanya musim bunga. Penduduk menikmati sarapan pagi di taman awam berhampiran Sungai Bosna dengan memasak ratusan telur hancur menggunakan kuali gergasi yang kemudiannya diagihkan kepada orang ramai. Mereka turut berparti, barbeku dan melakukan aksi terjun ke dalam sungai berkenaan.

No Image Caption

4. Baling serbuk kayu manis pada 'orang single' (Denmark)

Jika lelaki atau wanita mencecah usia 25 tahun dan belum berkahwin, mereka perlu ‘disimbah’ dengan serbuk kulit kayu manis. Tradisi itu bermula daripada penjual rempah ratus yang sibuk berniaga dan terus hidup membujang di Denmark. Mereka akan disiram dengan air sebelum dituang dengan serbuk kayu manis daripada kepala hingga kaki. Apabila masih belum berkahwin pada usia 30 tahun, serbuk lada pula akan digunakan dan kadangkala dicampurkan dengan telur.

No Image Caption

5. Festival Bufet Monyet (Thailand)

Pada setiap Ahad terakhir bulan November, Festival Bufet Monyet akan diadakan di kuil Phra Prang Sam Yot di Lopburi, Thailand. Ia menjamu ribuan monyet yang menjadi ‘tetamu khas’ bertujuan membawa tuah ke kawasan berkenaan. Menara sayur-sayuran dan buah-buahan menjadi tarikan untuk acara tersebut yang turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan.

No Image Caption

6. Polterabend (Jerman)

Ia berasal daripada kata kerja poltern dalam bahasa Jerman bermaksud membuat bunyi bising. Ahli keluarga pasangan mempelai akan berkumpul dan memukul apa sahaja objek seperti pasu dan jubin untuk membawa nasib baik kepada bakal pengantin.

No Image Caption

7. La Mordida (Mexico)

Tradisi sempena sambutan ulang tahun kelahiran atau La Mordida di Mexico ini akan ‘menyembam’ muka individu yang diraikan. Tetamu akan turut melaungkan Mordida sebanyak tiga kali yang bermaksud ‘jamah kek itu’. Ia dikatakan berasal daripada budaya purba kaum Aztec dan Mayan yang terkenal dengan gabungan unsur keseronokan serta gurauan nakal dalam ritual mereka.

No Image Caption

8. Perang buah limau (Itali)

Setiap tahun menjelang tiga hari sebelum karnival Mardis Gras, penduduk di Ivrea, Itali akan dibahagikan kepada sembilan ‘skuad’ berasingan dan mengenakan sut bertempur untuk perang buah limau. Ia menjadi perang makanan terbesar di Rom. Asal usul tradisi itu dikatakan ketika abad ke-12 atau ke-13 apabila penduduk pada era tersebut menentang pemerintah zalim.

No Image Caption

9. Ikipalin (Indonesia)

Setiap komuniti mempunyai cara tersendiri untuk meratapi pemergian orang tersayang. Namun, wanita puak Dani di Wamena, Kabupaten Jayawijaya, Indonesia mempunyai kaedah unik iaitu memotong jari mereka atau digelar sebagai ikipalin. Jari tersebut akan diikat dengan ketat sehingga kebas sebelum dipotong dan kesan lukanya dibakar bagi menghentikan pendarahan serta mengelakkan jangkitan. Bagi kepercayaan puak itu, jari adalah simbol penyatuan dan kekuatan.

No Image Caption

10. Jatuhkan bayi (India)

Di beberapa bahagian di negara Asia Selatan itu, ritual jatuhkan bayi pada ketinggian antara sembilan dan 15 meter dilakukan oleh sami. Ia turut dilakukan komuniti Muslim di kawasan luar bandar negeri Maharashtra dan Karnataka. Tradisi itu dikatakan sudah diamalkan lebih tujuh abad di India. Pada hari ini, bayi yang dijatuhkan akan disambut sekumpulan lelaki yang memegang penjuru kain bertujuan untuk membawa nasib baik dan umur panjang.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!