Amir Ahnaf tolak buli

Amir sendiri belajar bagaimana untuk mengawal emosi daripada memberikan sebarang respons terhadap buli siber. FOTO AZRUL RAFIE (ASTRO)
Amir sendiri belajar bagaimana untuk mengawal emosi daripada memberikan sebarang respons terhadap buli siber. FOTO AZRUL RAFIE (ASTRO)
A
A
A

KECANGGIHAN teknologi pada hari ini membuatkan lebih ramai membuka mata mengenai gejala buli yang bukan sahaja berlaku di institusi pengajian tinggi, tetapi juga di peringkat sekolah dan tidak kurang juga di tempat kerja.

Biarpun sudah banyak kempen kesedaran bagi mencegah budaya buli, termasuk mesej yang diterapkan dalam karya seni seperti drama mahupun filem, namun masalah ini masih belum berjaya diatasi.

Bagi aktor yang sedang meningkat naik, Amir Ahnaf, generasi masa kini lebih terdedah kepada masalah buli terutama menerusi ruang siber sehingga menyumbang kepada masalah kesihatan mental.

"Tanpa kita sedar, semakin berganti generasi, semakin canggih teknologi, semakin teruk masalah kesihatan mental generasi masa kini.

"Sekarang, buli bukan hanya melibatkan sentuhan fizikal, tetapi juga ganggung emosi. Wujudnya media sosial sebenarnya memberi lebih ruang untuk orang lain melakukan buli siber.

Amir Ahnaf pada malam gala Kahar: Kapla High Council di Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO AZRUL RAFIE (ASTRO)
Amir Ahnaf pada malam gala Kahar: Kapla High Council di Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO AZRUL RAFIE (ASTRO)

"Bila kita hasilkan filem sebegini, terus tuduh kami menyokong buli, tetapi bila kita kata mereka juga membuli, marah. Jadi saya harap menerusi filem ini, akan membuka mata dan membuatkan orang lebih faham kesan buli pada orang lain," ujarnya.

Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin berkata demikian ketika ditemui pada malam gala Kahar: Kapla High Council di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah jejaka berusia 24 tahun itu, kerapuhan emosi pada masa kini bukan bermakna generasi sekarang lebih manja berbanding generasi sebelum ini.

Katanya, beliau sendiri belajar bagaimana untuk mengawal emosi daripada memberikan sebarang respons terhadap buli siber.

"Saya pelajari sesuatu daripada buli siber ini, jika kita tidak dapat mengawal emosi, ia akan menjadi huru-hara dan seterusnya kita akan menjadi hamba kepada emosi sendiri.

"Dari situ kita akan jadi pemarah dan sukar untuk kawal emosi kita. Jadi sebenarnya dalam menghadapi semua ini, pandailah jaga diri sendiri.

"Apa yang lebih penting adalah hentikan buli dan buli siber kerana ia tidak memberi manfaat pun, bukan sahaja kepada diri kita, tetapi juga orang lain," katanya lagi.

Selain mengawal emosi, Amir juga menasihatkan agar kerap bertanya khabar individu sekeliling bagi memastikan kesihatan mental sentiasa dalam keadaan baik.

“Banyak yang boleh memberi pengaruh hari ini, ditambah dengan kewujudan media sosial.

“Jadi, sentiasalah jaga orang sekeliling, keluarga dan kawan-kawan. Selalulah tanya khabar mereka,” jelasnya yang selesa menghabiskan masa di kampung halaman di Terengganu, setiap kali selesai penggambaran dan menyifatkan sebagai cara 'membersihkan diri'.

Bangga

Sementara itu, mengulas penglibatannya dalam filem Kahar: Kapla High Council arahan Razaisyam Rashid, anak seni yang dilahirkan menerusi program Hero Remaja 2021/2022 itu mengakui lega kerana akhirnya dapat mengetahui 'asal-usul' Kahar.

Katanya, sebagai pelakon yang membawa watak itu, beliau tidak dapat memahami emosi Kahar sebelum ini kerana tidak dijelaskan asal-usul karakter itu.

"Selepas Projek High Council berakhir, kita perlu tunggu dua tahun untuk mengetahui siapa sebenarnya Kahar, saya sendiri rasa perasaan itu tidak lengkap kerana tidak faham latar-belakang Kahar.

"Jadi bila dapat skrip, saya sendiri tidak dapat menyimpan perasaan, terus menangis kerana melihat emosi bak roller coaster dalam filem ini," ujarnya.

Amir turut menyumbangkan suara menerusi lagu tema, Kudeta. FOTO AZRUL RAFIE (ASTRO)
Amir turut menyumbangkan suara menerusi lagu tema, Kudeta. FOTO AZRUL RAFIE (ASTRO)

Lebih membuatkan Amir bangga apabila lakonannya mendapat pujian daripada ibu, bapa dan adik-beradik yang lain.

"Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah bangga dengan diri saya sendiri. Tetapi bila mama, ayah dan adik-adik puji lakonan saya dalam filem ini, terbit juga rasa bangga dan syukur kerana dapat membuatkan mereka bangga.

"Apa yang saya harapkan, bagi sesiapa yang menonton filem ini, akan dapat mesej yang kami sampaikan terutama pada babak penghujung filem ini," kata Amir mengakhiri perbualan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!