Tingkat persediaan, pemantauan hadapi gelombang kedua banjir
RAMALAN Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula Ahad mencetuskan kebimbangan ramai terutama mangsa yang masih lagi terkesan akibat bencana tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara pada Ahad berkata, di Sabah dan Sarawak pula, banjir dijangka berlaku dalam tempoh penghujung bulan ini hingga Mac.
Ujar beliau, setakat ini, kurang 10,000 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 153,000 pada 1 Disember lepas, yang melibatkan 45,000 keluarga.
Gelombang banjir pertama yang berlaku pada 15 November lalu menyebabkan ramai mangsa terjejas dan menanggung kerugian tinggi akibat bencana tersebut.
Banjir kali ini memberi kesan besar kepada rakyat termasuk gangguan pendidikan, kehilangan pendapatan, kerugian harta benda, aktiviti ekonomi, penyakit berjangkit, risiko nyawa dan kemusnahan infrastruktur.
Bagi mereka yang telah pulang dan melakukan pembersihan di kediaman mereka susulan banjir baru-baru ini, pastinya tidak sanggup berhadapan dengan gelombang seterusnya.
Bagaimanapun, memandangkan amaran telah dikeluarkan, tindakan kerajaan dari segi gerak kerja pihak berkuasa dan pengagihan bantuan perlu dilaksanakan dengan teratur terutama di kawasan berisiko tinggi terjejas akibat gelombang kedua terbabit.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu pada Ahad berkata, kerajaan bersedia membawa anggota dan penyelamat dari luar Kelantan jika keadaan mendesak dalam situasi banjir gelombang kedua.
Ujar beliau, sehingga kini, semua logistik berada dalam keadaan siap sedia termasuk 12 lori, 62 bot dan sembilan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Inisiatif itu sudah pasti menambahkan lagi tenaga kerja dalam usaha menyelamatkan mangsa banjir di seluruh negara.
Dalam masa sama, pihak berkuasa juga perlu memantau media sosial bagi melihat perkembangan semasa situasi banjir di setiap negeri.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan di media sosial mengenai situasi semasa di kawasan banjir bagi memastikan kerja menyelamat dapat dijalankan dengan segera.
Jelas beliau, tindakan itu sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua selepas beberapa kawasan yang dilanda banjir sebelum ini dijangka sekali lagi dinaiki air.
Sudah tentu langkah tersebut dapat memudahkan urusan orang ramai untuk turut membantu mangsa yang terperangkap akibat bencana berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!