Tiada apa lagi hendak diselamatkan
TUMPAT - Mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini bersedia jika bencana lebih besar berlaku namun berdoa agar hujan lebat tidak berlarutan.
Ini kerana mereka sudah penat menghadapi banjir selain ada yang telah kehilangan harta benda dalam banjir sebelum ini.
Seorang tukang perak di Kampung Jal Besar di sini, Azmie Omar, 46, mengakui bimbang gelombang kedua akan lebih besar berdasarkan ramalan pihak berkaitan.
Azmie yang belum siap mengemas rumah selepas air surut dua hari lalu berharap keadaan cuaca lebih baik sehingga Januari tahun depan.
“Ketika banjir minggu lalu, air di kawasan rumah saya naik dengan cepat sehingga mencecah satu meter dan memenuhi ruang dapur.
“Memang situasi itu sangat memenatkan selain kami tidak dapat bekerja kerana perlu membersihkan rumah bagi mengelakkan bau,” katanya ketika keluar membeli peralatan mencuci rumah pada Sabtu.
Suri rumah dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai Nazira Abd Ghani, 48, pula memberitahu, penduduk sudah bersedia menghadapi gelombang kedua selepas melalui pengalaman sebelum ini.
Menurutnya, beberapa penduduk kampung sepakat membina khemah di atas bukit, kira-kira dua kilometer dari kampung berkenaan ketika gelombang pertama baru-baru ini.
Menceritakan pengalaman menghadapi bencana banjir lebih seminggu lalu, Nazira berkata, dia terpaksa membawa keluar ibunya yang mengalami masalah bengkak usus selain anak saudaranya yang baru 11 hari melahirkan bayi ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Apabila banjir surut, salah seorang kakak saya mengambil mereka di PPS itu dan kini tinggal buat sementara di Machang,” katanya.
Tambahnya, ramalan hujan berterusan sehingga 14 Disember ini juga antara sebab dia tidak membenarkan ibunya pulang ke rumah.
Sementara itu, mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh, Rantau Panjang, Mohd Hafizi Zakaria, 32, berkata, rumah ibunya kini hanya tinggal bumbung dan tiada perkakas atau peralatan elektrik yang dapat diselamatkan.
“Bagi saya gelombang pertama atau kedua sudah tiada bezanya lagi kerana tidak ada barang lagi yang boleh diselamatkan,” katanya.
Mohd Hafizi memberitahu, banjir kali ini luar biasa kerana lebih banyak rumah ditenggelami banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!