Pengajaran dari kes 'Gus Miftah'

Video Gus Miftah menghina peniaga teh ais yang viral secara meluas di media sosial mengundang kemarahan rakyat Indonesia.
Video Gus Miftah menghina peniaga teh ais yang viral secara meluas di media sosial mengundang kemarahan rakyat Indonesia.
A
A
A

DALAM satu majlis bersama kakitangan Kementerian Kewangan pada 5 Disember lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh tentang seorang pendakwah Indonesia.

Perdana Menteri mengungkapkan bagaimana pendakwah tersebut membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia ekoran cara dia berceramah.

Orang yang dimaksudkan oleh Anwar adalah Ustaz Miftah Habiburarrahman atau lebih dikenal sebagai Gus Miftah. Menurut beritanya, beliau adalah pemimpin Pondok Pesantren Ora Aji di Slamen, Jogjakarta.

Beliau mendakwa dirinya keturunan kesembilan Kiai Muhammad Ageng Bistari, pendiri Pesantren Tegalsari di Ponorogo.

Gus Miftah memang seorang pendakwah bebas yang terkenal. Ceramahnya menarik ribuan orang. Beliau didekati oleh orang politik, para pembesar dan artis popular.

Mungkin kerana popularitinya, beliau dilantik oleh Presiden Prabowo Subianto sebagai Utusan Khas Presiden Dalam Hal Ehwal Kerukunan Beragama dan Pembinaan Sarana Keagamaan. Kedudukan itu bertaraf menteri.

Gus Miftah dikatakan pernah mengikuti pengajian di Universiti Sunan Kalijaga, Jogjakarta dan memperoleh gelaran Sarjana Pendidikan Islam dari Universiti Sultan Agung Semarang.

Beliau juga seorang aktivis Pergerakan Mahasiswa Islam Indonesia (PMII) yang mempunyai kaitan dengan salah sebuah gerakan Islam yang terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama.

Artikel Berkaitan:

Beliau mula mendapat perhatian umum apabila muncul videonya satu masa lalu berdakwah di salah sebuah kelab malam di Bali. Beliau berpendapat mereka yang bekerja di kelab malam juga patut didakwahkan.

Gus Miftah dikatakan memberikan banyak perhatian kepada “rakyat kecil”, khususnya mereka di desa yang selalunya tidak didatangi oleh pendakwah terkenal yang lain.

Sayangnya tidak semua dakwaan beliau tentang asal usul dan latar belakang pendidikannya boleh dipertanggungjawabkan. Beliau sebenarnya anak kelahiran Lampung dan dari keturunan rakyat biasa.

Nama sebenarnya adalah Taim bukan Miftah Habiburarrahman. Maka itu gelaran “Gus” sepatutnya tidak boleh digunakan. Beliau sebenarnya hanya menjadi siak di sebuah masjid di Jokjakarta sebelum menjadi masyhur.

Beliau seorang yang penuh kontroversi. Gaya berceramahnya sekali gus membuat beliau popular tetapi turut dikecam. Dalam banyak hal, beliau berjenaka (istilah Indonesianya bercanda) dengan cara yang kasar dan menjatuhkan maruah orang lain.

Dalam sebuah video yang viral satu ketika dulu, beliau berinteraksi dengan seorang tokoh wayang tradisional Jawa yang terkenal selain pelawak dan pelakon filem bernama Yati Pesek.

Selepas mempersembahkan lagu Bajing Loncat, Yati diajak naik ke pentas oleh Gus Miftah. Setelah menghina artis veteran itu kerana lagu tersebut, beliau lantas menyebutkan mujurlah wajah Yati huduh kalau tidak, dia pasti akan jadi pelacur.

Jadi apa yang berlaku pada malam 25 November 2024 sewaktu majlis selawat beramai-ramai di Lapangan Soepardi, Kelurahan Sawitan, Kecamatan Mungkid, Magelang, Jawa Tengah, tidaklah menghairankan. Pada masa itu, seorang penjual teh ais lalu di hadapan pentas di mana Gus Miftah berada.

Beliau telah ditegur oleh Gus Miftah. Selanjutnya pendakwah itu secara berjenaka mengatakannya “goblok” atau bodoh di hadapan khalayak. Tidak cukup dengan penghinaan itu, beberapa orang lain di sisinya turut tertawa terbahak-bahak.

Berdasarkan video yang beredar itu, orang yang menjunjung bahan jualan di atas kepalanya itu kelihatan sedih dan malu.

Walaupun sudah lebih seminggu peristiwa itu berlalu tetapi video kejadian itu hanya menjadi viral mulai awal Disember. Netizen memenuhi ruang media sosial dengan kecaman keras ke atas Gus Miftah. Video itu dimuat naik puluhan juta kali. Banyak yang berasa sedih, kecewa dan marah dengan apa yang berlaku.

Tsunami kemarahan rakyat amat dirasakan. Reaksi rakyat tidak tertumpu di kalangan netizen tetapi juga di kalangan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), para pendakwah yang lain serta wakil pelbagai institusi masyarakat.

Gus Miftah adalah anggota pimpinan dalam kerajaan Probowo. Beliau bukan pendakwah biasa tetapi diangkat sebagai Utusan Khas Presiden.

Lebih buruk lagi apabila sebelum peristiwa itu dalam majlis yang sama, beliau menghina orang yang membawakan minuman untuknya. Selepas bersalaman, beliau lantas berpaling kepada orang di sebelah kirinya dan secara berjenaka meminta pasir bagaikan beliau baru sahaja menyentuh najis mughalazah.

Netizen mula mendedahkan siapa sebenarnya penjual teh ais itu. Beliau bernama Sunhaji yang berasal dari Dusun Gesari, Desa Banyusari, Kecamatan Grabag, Megelang.

Menurut pendedahan netizen, Sunhaji mempunyai dua orang anak dan masih tinggal bersama mentuanya. Sunhaji pernah bekerja sebagai tukang kayu tetapi oleh sebab kecederaan pada tangan kirinya, beliau mencari makan dengan menjual teh ais.

Simpati rakyat mencurah-curah. Bantuan kewangan melimpah. Ada yang menjanjikan untuk beliau dan isterinya pergi menunaikan umrah. Ada yang ingin membuatkannya rumah.

Pejabat Presiden juga merasakan bahang kemarahan rakyat. Presiden Prabowo dikatakan menghantar mesej untuk Gus Miftah memohon maaf kepada Sunhaji.

Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi membuat kenyataan media betapa kesalnya Prabowo dengan tindakan Gus Miftah. Beliau menyebutkan bahawa Prabowo sangat menghormati dan menjunjung tinggi adab dan akhlak khususnya apabila berhubungan dengan rakyat bawahan.

Pada waktu yang sama beredar video menunjukkan Prabowo membuat kenyataan beliau menghormati dan menghargai penjual kaki lima yang bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga.

Gus Miftah menemui Sunhaji di rumahnya dan menyatakan permohonan maaf. Beliau juga secara terbuka menyatakan rasa kesal atas tindakannya. Sunhaji sendiri mengatakan beliau sudah memaafkan Gus Miftah.

Tetapi api kemarahan rakyat tidak lagi boleh dibendung-bendung. Sekurang-kurangnya tujuh petisyen dalam dunia maya muncul, salah satunya mendapat tanda tangan lebih 350,000 orang dalam masa beberapa jam sahaja. Mereka mendesak Gus Miftah dipecat oleh Prabowo.

Pandangan Anwar juga mendapat liputan meluas di Indonesia. Perihal Perdana Menteri Malaysia sendiri mengambil iktibar dari peristiwa itu bagi mengingatkan rakyat tentang akhlak dan adab para pendakwah banyak diperkatakan di Indonesia.

Ada banyak cara berdakwah. Ada pelbagai pendekatan berceramah. Cara Gus Miftah salah. Penceramah tidak seharusnya menghina orang lain.

Itulah pengajaran paling penting dalam peristiwa membabitkan seorang pendakwah yang gagal mengawal mulut dan akhlaknya.

Pada 6 Disember baru lalu, Gus Miftah melepaskan jawatannya.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau kini banyak menulis tentang politik, kebudayaan dan kesusteraan Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!