54 pengunjung pusat hiburan di Sitiawan positif dadah
MANJUNG - Polis menahan 54 individu termasuk warga asing selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan di pusat hiburan di Taman Sentosa 2 dekat Sitiawan di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kesemua mereka iaitu 38 lelaki dan 16 wanita ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung semasa serbuan sekitar jam 3 pagi.
"Saringan awal dilakukan mendapati 54 individu ini positif dadah dan mereka telah ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu juga berjaya menahan 13 lagi lelaki warga tempatan dan dua warga Vietnam atas kesalahan memiliki dadah.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan menemui satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis kanabis, dua peket dengan setiap satu mengandungi tiga biji pil ekstasi dan dua keping aluminium foil dengan setiap keping mengandungi 10 biji pil eramin 5.
"Turut ditemui satu peket plastik lutsinar berisi satu tiub straw mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin dan satu paket berisi dua biji pil ekstasi.
"Siasatan kes telah dibuka di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 6 akta yang sama," katanya.
Hasbullah berkata, susulan daripada penahan terbabit, polis telah membuat serbuan ke sebuah premis di taman perumahan sama dan berjaya merampas satu beg silang.
Ujar beliau, pemeriksaan lanjut ke atas beg itu kemudiannya menemui 31 peket lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 545 gram dan satu keping aluminium foil mengandungi lima biji eramin 5 seberat 1.3 gram dengan anggaran keseluruhan lebih RM91,000.
"Dalam kes ini, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda Civic bernilai hampir RM40,000.
"Kesemua suspek yang ditahan telah direman selama tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!