Remaja tunggang motosikal dengan nombor plat diterbalikkan undang padah
SEREMBAN - Tindakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun menunggang motosikal dengan menggunakan nombor plat yang diterbalikkan mengundang padah apabila ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Negeri Sembilan bersama agensi lain di Tol Senawang di sini pada Sabtu.
Remaja terbabit yang datang berkonvoi bersama rakan-rakannya dari Ampang, Kuala Lumpur mendakwa datang ke Senawang hanya untuk makan roti john itu, turut mengakui ia merupakan kali ketujuh dia disaman atas kesalahan cukai jalan dan nombor plat.
Seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun pula didapati menutup nombor plat motosikalnya dengan pita pelekat dipercayai bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.
Akibatnya motosikal mereka bukan sahaja disita, tetapi terpaksa juga mendengar 'tazkirah percuma' jam 1 pagi daripada Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Muhammad Idzam Jaafar.
Mereka antara tujuh individu yang motosikalnya disita dalam operasi bermula jam 11 malam itu manakala sebanyak 222 saman dikeluarkan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof tidak menolak kemungkinan tindakan remaja berkenaan adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan dipercayai untuk tujuan berlumba.
"Bila kita tanya tadi, dia kata datang ke sini dari Ampang atas alasan nak makan.
"Tapi mencurigakan apabila menggunakan nombor plat yang ditutup dengan pita pelekat," katanya.
Menurutnya, dalam tempoh 22 hari operasi tersebut dilakukan bermula 15 November lalu, sebanyak 2,539 kenderaan telah diperiksa yang 1,919 daripadanya adalah motosikal.
"Daripada jumlah itu, 3,402 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan yang mana saman tertinggi adalah bagi kesalahan nombor pendaftaran iaitu (433) saman.
"Ia diikuti tiada lesen memandu (333); cermin sisi (230); cukai jalan tamat tempoh (220); tiada perlindungan insurans (215); aksesori tak sempurna (penutup rantai) (202) ubah suai ekzos (180) dan tak pamer P/L (118)," katanya.
Jelasnya, hasil dari operasi yang dilaksanakan, (102) buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987 yang melibatkan kesalahan penunggang bawah umur, tiada lesen memandu, ubah suai struktur/ peralatan kenderaan dan ubah suai ekzos.
Tambahnya, (7) individu telah ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1)APJ 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 iaitu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Sebanyak (4) tangkapan di bawah Akta Dadah berbahaya 1952 dan (1) di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan yang kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan atau mengganggu keamanan orang lain," katanya.
Selain itu katanya, sebanyak 40 saman dikeluarkan kepada ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga November, sebanyak (1,117) kes kemalangan jalan raya melibatkan motosikal telah direkodkan.
"Sebanyak (280) kes kemalangan maut, (196) kes kemalangan parah, (628) kes kemalangan ringan dan (13) kes kemalangan rosak sahaja.
"Bagi jumlah keseluruhan pengeluaran saman ke atas motosikal pula adalah sebanyak (37, 681) saman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!