[VIDEO] 'Saya tidak mahu terlibat plot politik mereka' - Jeffery

A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan tidak mahu namanya dilibatkan dalam plot atau mainan politik parti lain yang menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berundur daripada jawatannya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pihaknya sentiasa menyokong Ketua Menteri dan juga kepimpinan beliau dalam kerajaan.

"Menimbulkan nama saya untuk terlibat dalam permainan mereka adalah tidak adil dengan menimbulkan kekeliruan dan spekulasi.

"Jadi saya tidak mahu terlibat dalam apa pun plot mereka. Kalau ini permainan mereka, saya tidak tahu. Seperti yang saya katakan, kita tetap menyokong Ketua Menteri dan berpendirian untuk bersama-sama dengan GRS," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pihak UMNO Sabah yang mengaitkannya dengan mencadangkan supaya menjadi Ketua Menteri interim susulan gesaan agar Hajiji meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

Jeffery ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Jeffery ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Tambah Jeffry yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, tuduhan yang dibuat berdasarkan video yang dimuat naik melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah tidak adil.

"Ia tidak adil untuk melakukan kenyataan berdasarkan klip video yang kita tidak tahu apa ceritanya, yang tiada pertuduhan dan tiada kes mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi ia bukan justifikasi untuk mereka meminta Ketua Menteri meletakkan jawatan, sedangkan kalau mereka itu sudah kena pertuduhan pun masih lagi pegang jawatan," katanya.

Sementara itu, ditanya jika tindakan desakan itu akan menggugat kerjasama dalam GRS, beliau menegaskan ia tidak mendatangkan sebarang kesan kepada gabungan tersebut.

"Tidaklah, sebab itu saya perlu buat kenyataan ini supaya tidak ada lagi spekulasi begini.

"Jika kita tidak uruskannya, ia akan wujudkan (spekulasi), sebab itu kita uruskan dari awal, supaya tiada lagi spekulasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!