Anak pengasuh ditahan disyaki liwat kanak-kanak lelaki 4 tahun
JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun kerana dipercayai meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek merupakan anak kepada pengasuh mangsa ditahan di Taman Perindustrian Tampoi Jaya pada petang Sabtu.
"Mangsa yang telah dijaga sejak dua tahun lalu oleh pengasuh terbabit dan dipercayai telah diliwat sebanyak dua kali sekitar bulan Oktober tahun lalu.
"Keluarga mangsa perasan perubahan diri mangsa sebelum bertindak membuat laporan diri.
"Suspek bekerja sebagai pekerja kilang. Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata suspek akan direman di Mahkamah Majistret di sini pada pagi Ahad.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
"Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih penjaga bagi anak-anak mereka dan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!