981 hektar tanah pesawah di Kelantan dicarum takaful
KOTA BHARU - Sebanyak 981 hektar tanah milik pesawah di negeri ini yang belum daftar takaful akan segera dicarumkan sebaik musim tanaman padi seterusnya bermula awal tahun depan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad, berkata, langkah caruman melalui Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) itu seiring saranan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi memberi perlindungan dan faedah pampasan kepada para pesawah terjejas bencana.
“Setakat ini, sejumlah 696 hektar tanah sawah sudah dilindungi oleh takaful melibatkan jadual penanaman padi pada September lalu.
“Manakala baki 981 hektar ialah tanah yang ditanam padi lebih awal sebelum bulan itu dan akan segera dicarumkan juga bagi membolehkan pesawah menerima pampasan sekiranya tanaman musnah akibat banjir atau kemarau,” katanya selepas Majlis Terima Tugas Pengerusi KADA di Pejabat KADA di Lundang di sini pada Ahad.
Sebelum ini, gelombang pertama banjir di Kelantan mencatatkan kerugian tanaman padi lebih RM10 juta membabitkan daerah Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat yang sebahagian besar dilindungi STTP.
Khalid memberitahu, petani dilindungi takaful akan menerima pampasan sebanyak RM2,250 setiap hektar sawah terjejas, manakala yang tidak dilindungi oleh takaful akan dibantu oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi tabung bencana sedia ada.
“Tabung disediakan untuk menghadapi bencana namun pampasan itu tidaklah sama dengan hasil pada yang sepatutnya mereka peroleh jika tidak kerana banjir.
“KADA bagaimanapun tetap akan cuba bantu melalui cara-cara lain termasuk dalam soal pembersihan dan penanaman semula padi selepas banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk mengusahakan tanah terbiar yang berpontensi bagi tanaman padi atau apa-apa tanaman lain yang boleh mendatangkan hasil.
“Kita akan mengenal pasti terlebih dahulu tanah-tanah terbiar yang berpontensi dan berapa banyak tanah serta kajian mana-mana tanaman bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi KADA yang baharu, Khalid menyangkal dakwaan segelintir pihak mengatakan lantikan itu baksis (upah atau ganjaran) dan bukan calon yang boleh memenuhi keperluan jawatan itu.
“Ada pihak termasuk pemikir politik beranggapan lantikan saya ini hanya lantikan baksis.
“Dakwaan ini tidak benar, amanat yang diberikan ini akan digalas dengan penuh tanggungjawab untuk membangun industri makanan sekaligus bagi menjamin keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak sebaliknya mahu membantu menaikkan industri pertanian negara selain menghargai kepercayaan diberikan oleh KPKM.
“Kita mahu tengok negara ini bebas dari kebergantungan makanan yang diimport termasuk beras dan sebagainya,” ujar Khalid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!