'Roll call' lebih kerap bagi elak buli - Mohamed Khaled
KOTA TINGGI - Panggilan nama atau 'roll call' lebih kerap merupakan tindakan yang akan diambil bagi mengelak insiden buli berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di bawah Kementerian Pertahanan berulang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian akan bertindak tegas dengan melaksanakan langkah penambahbaikan dari segi keselamatan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu buli.
"Sewaktu berada di ALK, kadet-kadet yang merupakan pelajar UPNM tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat akan bergaul. Biasanya di sini berlaku insiden tidak diingini kerana tiga hingga empat tahun mereka bersama, kerana mereka tahu siapa senior dan junior.
"Oleh itu, kita akan kerap buat 'roll call' selain pasang kamera litar tertutup dan sebagainya. Jika berlaku sebarang insiden seperti gaduh, maka akan selalu diadakan 'roll call' mungkin jam 10 malam, 2 pagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Pemindahan Ilmu Lestari, Pengukuhan Ekonomi dan Pemerkasaan Ilmu Penduduk di Felda Aping Timur, di sini, pada Ahad.
Pada 3 Disember, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.
Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
Sebelum itu, pada 27 November media melaporkan Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju menamatkan pengajian lima pegawai kadet dari UPNM yang terbabit dalam tiga kes buli di universiti berkenaan.
Pegawai kadet terbabit juga diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka.
Sebelum ini, beberapa siri insiden buli dilaporkan berlaku di UPNM termasuk Kes tragis membabitkan Kes kematian kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain dengan kesan kecederaan 90 tekapan seterika wap di seluruh anggota badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!