Pusat hiburan disyaki ada kegiatan persundalan digempur
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kegiatan persundalan di Bukit Bintang digempur dengan tangkapan seramai 110 individu dalam serbuan pada Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Operasi Bersepadu Pusat Hiburan itu bertujuan untuk membanteras kegiatan persundalan khususnya di sekitar Kuala Lumpur.
"Operasi yang dilaksanakan pada jam 2 pagi, polis telah membuat tangkapan seramai 41 orang yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan, manakala selebihnya adalah warga asing," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Rusdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 373B Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama," ujarnya.
Menurutnya, sebanyak sembilan premis hiburan dan tujuh hotel telah diperiksa dalam operasi itu.
"Operasi itu melibatkan 254 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi," ujarnya.
Beliau berkata, operasi itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
"JIM telah membuat pemeriksaan ke atas 377, daripada jumlah itu 36 orang ditahan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 56 (1)(d) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Rusdi berkata, Jawi pula menahan seramai 33 orang di bawah Seksyen 43 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Penyubahatan), Seksyen 29 akta sama (Kelakuan Tidak Sopan Ditempat Awam).
"Selain itu ada individu yang ditahan mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (minuman yang memabukkan).
"Dalam pemeriksaan yang sama, DBKL telah mengeluarkan lima notis kompaun melibatkan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil 36(1) Penempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil 22(1)(B) Penempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Seksyen 46(1)(D) Akta Jalan Parit & Bangunan 1974.
"Selain itu, DBKL juga telah mengeluarkan tiga notis Pemberitahu Tentang Kesalahan (NPTK) di bawah Seksyen 3 (1) Akta Hotel (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003 dan penutupan premis di bawah Seksyen 18 (2) Akta Hotel (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003," katanya.
Rusdi berkata, pihaknya memandang serius kegiatan-kegiatan persundalan di sekitar Kuala Lumpur.
"Kita tidak akan berkompromi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau premis yang didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam usaha membenteras aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!