Warga emas sebak 12,000 anak benih pokok balak ditenggelami air
HULU TERENGGANU - Usaha murni seorang warga emas untuk melestarikan alam berdepan ujian apabila 12,000 anak pokok balak yang disemai di pekarangan rumahnya di Kampung Kuala Jeneris di sini ditenggelami banjir ketika bencana buruk melanda minggu lalu.
Tijah Ali, 69, berkata, anak benih pokok meranti tembaga, meranti punai dan rambai daun baru sahaja disemai sejak sebulan lepas dan dijangka boleh dijual pada Februari tahun hadapan.
Menurutnya, anak pokok yang diusahakan itu disedari ditenggelami air selepas pulang ke rumah dari pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saban tahun setiap kali banjir rumah saya jarang dinaiki air. Paling teruk pun banjir tahun 2017. Waktu itu rumah dilimpahi air tapi tak begitu teruk.
"Saya pun sebenarnya tak jangka banjir tahun ini lebih buruk berbanding 2017 kerana air melimpah ke kawasan rumah sedalam hampir 1 meter.
"Selepas dibenarkan pulang ke rumah, saya dapati kesemua anak benih pokok ini ditenggelami air dan berlumpur," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini pada Ahad.
Tijah memberitahu, nilai kerugian dialami dijangka melebihi RM10,000 kerana melibatkan kerosakan anak pokok termasuk barangan lain seperti polibeg, plastik UV rumah hijau dan beberapa alatan lain yang digunakan untuk proses semaian anak benih.
"Anak pokok yang saya semai banyak yang terbalik dan patah. Saya hanya boleh letakkan ia semula di tempat asal.
"Buat masa ini saya tidak berani lagi untuk mengalihkan anak pokok ke tempat lain kerana bimbang akan mengganggu pembesaran akarnya.
"Setakat ini sebanyak 120 pokok yang tercabut terus daripada tempat semaian. Saya tak jamin kesemua baki benih yang lain boleh hidup. Jadi, saya perlu tunggu sehingga April depan untuk memilih anak pokok mana yang benar-benar hidup dan yang mati," katanya.
Jelas Tijah, dia hanya berserah kepada takdir sekiranya direzekikan untuk menuai hasil daripada tanaman itu atau sebaliknya.
"Saya terima terhadap apa jua takdir kerana paling utama saya bersyukur dikurniakan kesihatan tubuh badan untuk terus bekerja," katanya yang berkecimpung dalam semaian anak benih pokok balak sejak 24 tahun lalu.
Sebelum ini, Tijah mula mengusahakan semaian anak benih pokok balak berbekalkan pengalaman bekerja dengan lima pengusaha tanaman anak balak dengan modal RM5,000.
Menurutnya, setiap benih pokok itu akan disemai sehingga mencecah ketinggian 0.3 meter dan setiap satu pokok dijual kepada pembekal pada harga RM1.
"Benih yang disemai akan melalui beberapa proses antaranya ditempatkan di dalam rumah plastik bagi tujuan pengewapan pokok selain meracun, membaja dan menyiram," ujarnya.
Dalam pada itu, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, banjir kali ini disifatkan lebih buruk dalam tempoh 80 tahun kerana air naik begitu mendadak.
"Saya sedar air naik selepas solat Maghrib, waktu itu saya hanya ingat untuk selamatkan seorang anak lelaki saya yang sakit kerana kemalangan selain sempat angkat peti, mesin basun dan mesin parut kelapa ke tempat selamat.
"Disebabkan air naik dengan mendadak, ada barangan lain yang saya tak sempat selamatkan antaranya seperti sofa dan beberapa barangan lain yang turut ditenggelami air," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!