LBS Bina teroka bidang baharu

LIM HOCK GUAN
LIM HOCK GUAN
A
A
A

Setelah mengumumkan cabang baharu perniagaan dengan menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui, pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) bakal meneroka peluang menggabungkan penyelesaian tenaga dengan produk hartanah miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Joey Lim Hock Guan berkata, rancangan tersebut merupakan antara komitmen pihaknya terhadap pemuliharaan alam sekitar, sosial dan amalan tadbir urus (ESG).

Menurutnya, langkah itu meningkatkan dedikasi syarikat dalam memupuk pembangunan mampan serta tanggungjawab terhadap persekitaran yang lebih mesra alam.

“Projek tenaga boleh diperbaharui ini menyumbang secara signifikan kepada usaha kami untuk mencapai matlamat tersebut di samping mengurangkan jejak karbon melalui beberapa kaedah utama.

“Dengan mengaplikasikan teknologi berkaitan seperti tenaga solar dalam projek pembangunan hartanah, secara tidak langsung LBS dapat mengurangkan kebergantungan pada sumber tenaga berasaskan fosil,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, LBS menerusi inisiatif berkenaan dapat mencapai pengurangan kegunaan tenaga serta memanfaatkan sumber lestari yang menyokong inisiatif alam sekitar di bawah prinsip ESG melalui tindakan mengintegrasikan sistem cekap tenaga seperti panel solar atau sistem penyimpanan tenaga.

Melalui projek pembangunan ladang solar terletak di Senawang, Negeri Sembilan yang telah dipersetujui sebelum ini, hasrat itu mampu mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pelabur yang mementingkan pelaburan berasaskan ESG.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kami terhadap kelestarian, dan ia bukan sahaja menarik minat pelabur ESG tetapi meningkatkan kepercayaan pelanggan yang semakin prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Melalui projek ini, LBS boleh memperbaiki dan memperluaskan pelaporan ESG dengan data yang kukuh berkaitan pengurangan karbon serta impak positif projek projek lestari yang dilaksanakan.

“Ketelusan ini memberi syarikat kelebihan daya saing dalam industri kerana menawarkan kemajuan sebenar dalam mencapai matlamat ESG kepada pelabur, pelanggan dan pihak berkepentingan,” ujarnya.

Sebagai rekod pada Oktober lalu, LBS menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan, dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM104 juta kepada pakar tenaga bersih serantau, Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) untuk membina projek ladang solar di Senawang, Negeri Sembilan.

Ladang berkapasiti 43 megawatt peak (MWp) itu dijangka siap menjelang akhir tahun 2025 dan menjana kira-kira 53,000 MWh tenaga bersih setiap tahun, sekali gus mengurangkan kira-kira 35,000 tan pelepasan karbon dioksida.

Ladang solar milik Suria Hijauan Sdn Bhd itu merupakan konsortium yang terdiri daripada beberapa syarikat iaitu Setara Armada Sdn Bhd, MWG Solar Energy Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd.

Permintaan dan dasar kerajaan

LIM HOCK GUAN
LIM HOCK GUAN



Melihat kepada peningkatan permintaan daripada pembeli rumah serta pihak berkepentingan, LBS tidak menolak faktor tersebut mendorong pihaknya tekad menceburi sektor berkenaan.

Hock Guan menjelaskan, sebagai sebuah syarikat hartanah yang memberi fokus dalam memenuhi keperluan masyarakat, sudah tentu pihaknya tidak mahu melepaskan peluang dan seterusnya menjayakan usaha tersebut.

Selain itu beliau berkata, dasar kerajaan yang menyediakan pelbagai insentif kepada syarikat yang melabur dalam teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui turut menarik minat LBS meneruskan hasrat itu.

“Apabila ladang solar di Senawang mula beroperasi, ia akan menghasilkan sumber pendapatan berulang yang stabil untuk jangka masa lebih 21 tahun dan dijangka mencapai keuntungan setelah tahun pertama operasi.

“LBS memanfaatkan tanah simpanan dengan mengoptimumkan penggunaan sedia ada, minimumkan pembaziran sumber dengan memastikan kawasan itu diusahakan secara produktif,” katanya.

Optimis berdepan cabaran

Sebagai syarikat yang berpengalaman di dalam sektor hartanah dan pembinaan, Hock Guan mengakui LBS tidak terkecuali daripada berdepan cabaran apabila menceburi industri tenaga boleh diperbaharui.

Malah beliau optimis dengan sokongan daripada semua pihak terbabit dapat membantu syarikat itu berdepan dengan kekangan di masa akan datang.

“Memandangkan ini merupakan usaha pertama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kami menjangkakan cabaran-cabaran seperti pematuhan peraturan, pengurusan rantaian bekalan serta pembiayaan projek.

“Walau bagaimanapun, dengan jalinan kerjasama di antara LBS dan Atlantic Blue (anak syarikat Solarvest) serta kontraktor EPCC yang berpengalaman dalam bidang ini, sudah pasti dapat mengurangkan risiko itu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mendedahkan, pihaknya dalam perancangan untuk meneroka lebih banyak peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui sebagai usaha mempelbagaikan aliran pendapatan, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat terhadap kelestarian.

Menjelaskan perkara itu, Hock Guan berkata, LBS terbuka untuk menceburi teknologi lain yang mampu memberi nilai tambah kepada syarikat.

“Kami akan meneliti peluang pertanian yang bersesuaian untuk memberi nilai tambah kepada ladang solar berkenaan.

“Kemungkinan juga meneroka teknologi tanaman yang boleh dilakukan di bawah panel solar,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!