Harga beras putih import turun hingga RM2
GEORGE TOWN - Kebanyakan peniaga di negeri ini didapati telah menurunkan harga beras putih import (BPI) antara 70 sen hingga RM2.
Penyelia kedai runcit, Basyir 30-an berkata, premisnya kini menjual BPI untuk 10 kilogram (kg) pada harga RM37.80 berbanding RM39.80 sebelum ini.
Basyir berkata, dia menurunkan 90 sen bagi BPI untuk 5kg iaitu daripada RM19.40 menjadi RM18.50.
"Penurunan harga ini tidak sama, ia ikut jenama. Ada jenama, boleh turun banyak, ada jenama, tak boleh.
"Seperti jenama Jati, saya boleh turunkan sehingga RM2 tetapi Cap Rambutan, saya turunkan RM1 sahaja," katanya ketika ditemui di Macallum di sini pada Ahad.
Tambahnya, kekurangan beras putih tempatan (BPT) merupakan masalah kepada pelanggannya yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
"Pelanggan saya kebanyakannya golongan B40. Apabila BPT kurang, mereka terpaksa membeli BPI yang harganya lebih mahal.
"Saya nak turunkan (harga) banyak pun tak dapat. Harga BPI memang agak tinggi. Namun dengan penurunan ini, okay sikit daripada sebelum ini walaupun ia masih mahal," katanya.
Sebelum ini, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bersetuju untuk menurunkan harga jualan BPI di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Bernas baru-baru ini.
Sementara itu, peniaga kedai runcit, Chew Siew Hong, 73, berkata, dia menurunkan RM1.50 untuk BPI 10kg manakala 70 sen untuk 5kg.
"Sebelum ini memang harga tinggi, sekarang boleh jual murah sikit. Turun pun kena ikut jenama. Jika jenama, kita kena keluar modal tinggi, tak boleh turun banyak sangat.
"Sebelum ini, saya jual 5kg dengan harga RM18.80, sekarang RM18.10. Untuk 10kg, dahulu RM35.80, sekarang RM34.30," katanya.
Ditanya mengenai BPT, Siew Hong mengakui agak sukar untuk mendapat bekalan untuk dijual kepada pelanggan.
"Memang susah dapat bekalan BPT. Saya harap selepas ini kerajaan dapat bantu rakyat untuk mendapatkan bekalan BPT.
"Kasihan pelanggan kerana mereka tiada pilihan melainkan memilih BPI yang harganya lebih mahal.
"Jika kerajaan boleh mengembalikan BPT, sekurang-kurangnya pelanggan ada banyak pilihan," katanya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga BPI di pasaran berjaya dikurangkan hasil rundingan dengan kerajaan India susulan lawatannya ke negara itu baru-baru ini.
Beliau turut mengakui wujud masalah berhubung beras tempatan yang belum dapat ditangani sepenuhnya.
Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan berusaha mencari jalan bagi meringankan beban rakyat.
Bekalan beras putih tempatan berkurangan
KOTA BHARU - Beras putih import (BPI) turun harga antara RM1 hingga RM2 bagi 10 kilogram (kg) di negeri ini bermula Ahad.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, bagi BPI 5kg pula mengalami penurunan sebanyak 70 sen.
Ketua Bahagian Penerimaan Barangan sebuah pasar raya di Kubang Kerian, Anashafizi Yusof berkata, bekalan BPT berkenaan adalah stok baharu sampai pada Ahad dan terus diturunkan harga berbanding harga lama, selaras di 100 cawangan pasar raya itu seluruh negara.
“Seminggu lalu RM33.90, sekarang dijual RM32.90 untuk 10kg. Kalau beras 5kg pula, sebelum ini dijual RM20.90, sekarang RM20.20.
“Bekalan lama sudah habis dibeli oleh pelanggan ketika banjir gelombang pertaam selain diborong oleh badan bukan kerajaan untuk memberikan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas bencana,” katanya ketika ditemui di Kubang Kerian di sini pada Ahad.
Beliau memberitahu bekalan beras putih tempatan (BPT) pula berkurangan sejak September lepas.
“Tidak dapat dipastikan punca BPT kurang di pasaran tetapi jika ada, beras ini akan cepat dibeli pelanggan kerana lebih murah sekitar RM26 bagi 10kg,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bersetuju menurunkan harga jualan BPI di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan kepada RM2,800 per tan berkuat kuasa 1 Disember.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan berjaya mengurangkan harga beras putih import di pasaran melalui hasil rundingan dengan kerajaan India dalam sesi lawatan diadakan ke negara itu, baru-baru ini.
Sementara itu, pemerhatian di kedai-kedai runcit sekitar Kota Bharu tidak menemukan BPI atau BPT kerana peniaga kedai berkenaan lebih memilih jualan beras siam yang menjadi pilihan penduduk Kelantan.
Dalam pada itu, sebuah pasar raya di Pengkalan Chepa pula mengekalkan harga sama setakat tengah hari Ahad.
Penyelianya, Nurul Salwani Alias, berkata, walaubagaimana pun, harga jualan BPI yang terdapat di pasar raya terbabit masih berada di bawah harga kawalan ditetapkan oleh kerajaan.
“Misalnya satu jenama BPT ini dijual RM37.50 bagi 10kg yang lebih rendah dari harga runcit kawalan ditetapkan pada RM42.
“BPI 5 kg pula dijual RM20.60 di bawah paras harga kawalan RM22.75 ditetapkan dan kami akan turunkan lagi jika ada arahan dari pihak ibu pejabat kami,” katanya.
Selain itu, penurunan harga BPT tersebut memberi kelegaan kepada seorang peniaga nasi berlauk, Roziah Husain, 49, yang memilih menggunakan beras berkenaan pada musim banjir.
“Biasanya guna beras siam tetapi pada waktu tengkujuh begini stok beras siam payah diperolehi.
“Jadi, penurunan BPT membantu kami menjimatkan kos modal berniaga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!