Tadbir urus baik mampu bangunkan ekonomi negara

Tindakan kerajaan menekankan aspek penambahbaikan tadbir urus baik dalam pentadbiran berupaya membangunkan ekonomi negara. Gambar kecil: Mohamad Khair Afham
Tindakan kerajaan menekankan aspek penambahbaikan tadbir urus baik dalam pentadbiran berupaya membangunkan ekonomi negara. Gambar kecil: Mohamad Khair Afham
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menekankan aspek penambahbaikan tadbir urus baik dalam pentadbiran berupaya membangunkan ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan berkata, apabila tadbir urus yang baik dilaksanakan, keyakinan pelabur terhadap sesebuah negara meningkat.

Menurutnya, ia juga mendorong kepada pengurusan sumber negara lebih cekap yang mana berupaya meminimumkan pembaziran dan ketirisan yang sering dikaitkan dengan rasuah atau pengurusan lemah.

“Salah satu kesan ketara tadbir urus yang baik ialah keupayaannya menghalang penyelewengan dana awam. Dengan adanya kawalan ketat dan sistem pemantauan yang telus, ketirisan dana boleh diminimumkan atau dielakkan sama sekali.

“Ini seterusnya membolehkan wang rakyat disalurkan kepada pembangunan negara. Sebagai contoh, jika dana yang sebelum ini hilang akibat ketirisan untuk kegunaan membina hospital, sekolah atau kemudahan awam, ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Khair Afham memberitahu, bahawa ketelusan dalam sistem pentadbiran dan pengurusan kewangan mengurangkan risiko rasuah, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing.

Jelas beliau, pelaburan langsung asing (FDI), sering kali tertumpu kepada negara-negara mempunyai reputasi tadbir urus yang kukuh.

Tambahnya, ia disebabkan pelabur berasa lebih yakin bahawa perniagaan mereka tidak akan terjejas akibat ketidaktentuan dasar atau salah urus kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Tadbir urus baik membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Apabila birokrasi yang rumit dan amalan rasuah dikurangkan, proses menjalankan perniagaan menjadi lebih mudah dan kosnya lebih rendah.

“Ini bukan sahaja meningkatkan daya saing ekonomi negara malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!