Titah Adendum: Kerajaan Perpaduan perlu bersikap terbuka

Ahmad Razif
Ahmad Razif
A
A
A

KUALA NERUS - Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu bersikap terbuka dan berterus terang dalam isu kewujudan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak serta tidak mengambil langkah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu menyatakan, sebagai sebuah parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, usaha tersebut sepatutnya menjadi lebih mudah dan sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani dengan lebih cermat maka ia dikhuatiri akan menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang ada ketika ini.

Menurutnya, pendirian tegas kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang sepakat membela nasib bekas Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak tidak boleh dipandang sebelah mata oleh Kerajaan Perpaduan.

"Malah pendirian tegas kepimpinan tertinggi BN yang sepakat membela nasib Najib adalah senada dengan kehendak kebanyakan rakyat yang mahu bekas Perdana Menteri berkenaan diberikan hak dan keadilan termasuk mengenai kewujudan perintah tambahan tahanan rumah yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

"Afidavit terbaharu Datuk Mohamad Nizar (anak sulung Najib) bahawa titah tambahan itu sememangnya benar-benar wujud telah menjadi pengetahuan umum yang tidak boleh dipandang mudah," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Justeru, Ahmad Razif berkata, kenyataan tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan pada sambutan ulang tahun BN ke-50 pada Sabtu adalah tepat pada masanya.

"Saya sependapat dengan kenyataan bahawa integriti BN sedang diperhatikan.

"Jadi sesuatu perlu dilakukan bagi memperjuangkan hak dan keadilan terhadap Najib," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, UMNO sebagai parti tunjang dalam BN perlu lebih tegas dan realistik menggunakan saluran yang ada bagi tujuan pembelaan terhadap Najib.

"Apa yang penting, jika titah tambahan itu benar-benar wujud, hak Najib mestilah segera dikembalikan.

"Bagi saya, isu ini tidak boleh dibiarkan menjadi polemik yang berpanjangan sehingga Najib menjadi mangsa keadaan dan ia perlu segera dimuktamadkan secara bertanggungjawab.

"Yang jelas bahawa pendirian dan kesepakatan pucuk kepimpinan serta akar umbi UMNO serta BN berhubung isu itu tidak dilihat remeh kerana kami akan kekal memperjuang dan mempertahankan maruah pemimpin dan parti kami," jelas beliau.

Pada Khamis lalu, anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, dokumen tersebut diterima Nizar pada 2 Disember atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!