Israel lancar kempen pencerobohan darat di Syria

Benteng dibina IDF di sepanjang sempadan Syria. - Foto Agensi
Benteng dibina IDF di sepanjang sempadan Syria. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Ahad melancarkan kempen pencerobohan darat pertama dengan mengerahkan unit infantri bersama kereta kebal menyeberangi sempadan ke zon penampan di selatan Syria.

Operasi itu bermula selepas kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad yang kononnya sebagai pelan kecemasan rejim Zionis bagi menghalang kemaraan puak pemberontak dipimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) ke Tel Aviv.

Sehari sebelum itu, IDF telah menempatkan pasukan termasuk unit risikan dan peninjauan untuk memperkukuhkan kedudukan bersama unit udara dan infantri di sepanjang sempadan.

Rangkaian media Israel turut melaporkan ketibaan pasukan berskala besar di kawasan Quneitra tersebut yang dikhuatiri akan mencetuskan perang lebih dahsyat di Syria yang ketika ini berdepan situasi tidak menentu.

Di bawah kempen pencerobohan itu, Zionis turut membedil kemudahan senjata kimia milik Assad kononnya untuk mengelakkan ia daripada jatuh ke tangan puak pemberontak.

Sebelum ini, IDF cuba mengelakkan konflik lebih tegang dengan Damsyik meskipun ia telah melancarkan ribuan serangan udara ke atas negara bergolak itu sepanjang tempoh lebih sedekad sejak perang saudara meletus. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!