Industri landskap sasar RM40 bilion KDNK menjelang 2035
TAIPING - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan RM40 bilion sumbangan industri landskap kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035 menerusi Dasar Landskap Negara 2.0.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sasaran itu menyamai peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding 0.35 peratus yang dicatatkan tahun ini.
"Pembangunan industri landskap ketika ini dianggarkan berjumlah RM4 bilion dan kita nak bangunkan sehingga RM40 bilion dalam tempoh 10 tahun.
"Seandainya misi ini berjaya, ia dapat mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan dalam industri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 dan Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 untuk Jabatan Landskap Negara di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad.
Dasar Landskap Negara 2.0 mempunyai lima teras, 18 strategi dan 47 pelan tindakan yang menumpukan aspek pembangunan landskap mampan, perkembangan industri berkaitan landskap, pemangkin kesejahteraan rakyat dan pembudayaan gaya hidup sihat melalui landskap.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, industri landskap kini telah berkembang dan menjadi perincian penting gaya hidup masyarakat terutama dalam membeli kediaman.
Katanya, mengikut Jabatan Perumahan Negara, projek perumahan yang mempunyai kawasan lapang dan hijau serta skypark sentiasa mendapat sambutan memberangsangkan khususnya yang dilengkapi kemudahan sukan dan riadah.
"Apabila orang membeli kediaman, bukan hanya membeli rumah sahaja tetapi gaya hidup.
"Maka dalam perkara ini, Jabatan Landskap Negara bertanggungjawab untuk membangun bersama termasuk membuat ekspo dalam dan luar negara.
"Tak silap saya, hasil jualan Hari Landskap Negara yang kita adakan tahun ini meraih RM4.9 juta dalam tempoh singkat termasuklah jualan bunga. Ini semuanya akan memberikan pendapatan kepada pengusaha, industri semaian, benih-benih, pokok-pokok dalam menaikkan KDNK negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!