Presiden Syria maut dalam nahas pesawat?

Peta 3D trajektori penerbangan IL-76 yang didakwa membawa Assad sebelum ia hilang dari radar. - Foto Agensi, gambar kecil: Assad
Peta 3D trajektori penerbangan IL-76 yang didakwa membawa Assad sebelum ia hilang dari radar. - Foto Agensi, gambar kecil: Assad
A
A
A

DAMSYIK - Platform media sosial kecoh dengan khabar angin tentang pesawat dinaiki Presiden digulingkan, Bashar al-Assad terlibat nahas.

Spekulasi tentang kemalangan itu dibuat warganet berdasarkan data laman web Flightradar24 terhadap pesawat yang hilang secara tiba-tiba selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada awal Ahad.

Rangkaian media tempatan masih belum mengesahkan dakwaan sama ada Bashar turut berada dalam pesawat itu.

Dua sumber di Damsyik bagaimanapun menyatakan terdapat kebarangkalian besar Bashar mungkin terbunuh dalam kemalangan tersebut.

Menurut beberapa warganet, pesawat Illyushin-76 (IL-76) kendalian Syrian Air 9218 itu sedang menuju ke kubu kuat keluarga Assad di bahagian timur, namun membuat pusingan U dan terbang pada arah bertentangan selama beberapa minit sebelum hilang dari radar ketika berada di ruang udara berhampiran Homs.

Pesawat itu dikatakan berlepas dari Damsyik sebelum puak pemberontak merampas kawalan lapangan terbang itu.

Ketika ini, puak pemberontak sedang melancarkan usaha menjejaki Assad dan turut menyoal siasat pegawai tentera dan anggota risikan yang mungkin mempunyai maklumat tentang keberadaan beliau.

Platform media sosial pula dibanjiri beberapa teori yang mendakwa pesawat dinaiki Assad telah terhempas.

Artikel Berkaitan:

"Pesawat yang hilang dari radar dan perubahan altitud secara tiba-tiba jelas menunjukkan ia telah ditembak jatuh! Maklumat belum disahkan kini tersebar tentang pesawat bawa Assad menjunam dari ketinggian lebih 3,650 meter (m) ke 1,070m dalam tempoh beberapa minit di luar ruang udara Lubnan di utara Akkar," jelas satu teori dikongsi di platform X.

Data radar penerbangan 3D juga membuat andaian sama.

"Pesawat itu terhempas atau meletup," kata seorang lagi warganet berdasarkan teori yang sedang tersebar.

Ketika ini, beberapa rakaman video tidak disahkan memaparkan pesawat terhempas dan terbakar juga menjadi tular ketika komuniti antarabangsa terus tertanya-tanya tentang nasib sebenar Assad. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!