Berakhirkah konflik Syria?
SHAH ALAM - Kekejaman yang dilakukan oleh rejim Bashar al-Assad terhadap rakyat Syria sememangnya menarik perhatian dunia.
Sejak permulaan perang saudara di Syria pada 2011, pelbagai bentuk penyalahgunaan hak asasi manusia telah dilaporkan sehingga mengakibatkan kematian serta kecederaan kepada ribuan orang awam.
Penderitaan rakyat Syria kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua bahkan ada di antara mereka terpaksa menjadi pelarian di negara jiran.
Namun, pada Ahad pemerintah keluarga Assad selama lima dekad di Syria berakhir selepas pejuang pembangkang menguasai Damsyik.
Kejatuhan Assad turut diraikan penduduk yang berhimpun dan berarak di ibu kota.
Rakyat Syria di seluruh negara meruntuhkan dan memijak patung bapa Presiden Bashar al-Assad yang mengasaskan pemerintahan kejam yang diwarisi anaknya.
Di ibu negara Damsyik, orang ramai bersorak ketika mereka berdiri di belakang patung bekas Presiden Hafez al-Assad, dalam peristiwa simbolik menandakan kejatuhan pemerintahan kuku besi.
Peristiwa bersejarah itu berlaku selepas kumpulan pejuang mengisytiharkan Bashar al-Assad telah melarikan diri dari negara itu berikutan serangan pantas yang menyaksikan beberapa bandar utama dirampas.
Bagaimanapun, kejayaan pembangkang Syria menguasai ibu negara Damsyik dijangka membawa kepada situasi yang lebih mencabar apatah lagi jika tampuk pemerintahan negara itu dipimpin oleh kepimpinan Islam.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini kerana timbul persoalan sama ada Amerika Syarikat dan Zionis Israel akan berdiam diri jika kumpulan Islam memimpin Syria.
"Selain itu, adakah kepimpinan Islam Syria itu akan membiarkan pengkala tentera Amerika Syarikat terus bertapak di Syria atau bagaimana?
"Kita tunggu episod berikutnya yang lebih mencabar. Semoga ALLAH memelihara bumi Syam (Syria) dan mudah-mudahan perkembangan yang berlaku ini lebih baik untuk masa depan umat Islam khususnya ke arah pembebasan Baitul Maqdis," katanya menerusi laman Facebook pada Ahad.
Oleh itu, Syria memerlukan tampuk pemerintahan yang betul bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang seterusnya rakyat menjadi mangsa.
Tanpa pemerintah yang sah, rakyat Syria masih belum aman atau mungkinkah pengunduran rejim Bashar al-Assad ini bukan penanda tamatnya konflik Syria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!