Remaja tulis surat mohon maaf selepas bunuh bapa, nenek, tikam ibu
JAKARTA - Remaja lelaki berusia 14 tahun yang menggemparkan Indonesia baru-baru ini, kerana membunuh bapa dan neneknya serta menikam ibunya tampil memohon maaf.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi surat yang ditulis remaja berkenaan yang dikenali sebagai MAS kepada ibunya, dari penempatan sementaranya di Lembaga Penempatan Anak Sementara (LPAS).
"Saya baru sahaja bertemu MAS dan melihat keadaannya, ketika ini dia sihat, tentang surat itu selain permohonan maaf dia juga menulis harapannya.
"Dia tulis di helain kertas menggunakan tulisan tangan sendiri," kata peguam remaja terbabit, Amriadi Pasaribu kepada wartawan pada Jumaat lalu.
Katanya lagi, selain meminta maaf kepada ibunya, surat itu juga ditujukan buat Allahyarham bapa dan neneknya.
"Ibunya kini masih mendapatkan rawatan di hospital Fatmawati. Surat permintaan maaf tersebut juga ditujukan untuk ayah dan neneknya yang mati di tangannya," ujarnya lagi.
Kejadian pembunuhan berlaku pada 30 November lalu di kediaman mereka yang terletak di Perumahan Taman Bona Indah, Blok B6, Lebak Bulus, Cilandak, Jakarta Selatan.
Remaja itu kini ditempatkan di LPAS di bawah Badan Pemasyarakatan Kementerian Sosial (Bapas Kemensos) di atas faktor bawah umur. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!