Sembilan kawasan di sekitar Sungai Belat berisiko banjir
KUANTAN - Sembilan kawasan termasuk tujuh kampung yang berada di kawasan rendah di sekitar Sungai Belat di Kuantan berisiko banjir susulan amaran hujan berterusan tahap waspada diramal bermula Isnin hingga Rabu ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir membabitkan sembilan kawasan iaitu Kampung Batu 5 Jalan Gambang, Kampung Belukar, Kampung Gudang Rasau, Kampung Kurnia, Kampung Semangat, Kampung Telok Mahang, Sungai Isap, Taman Pandan Aman dan Kampung Sri Damai
Menurut kenyataan itu, risiko banjir dijangka berlaku di kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Belat.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
"Oleh itu orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," katanya.
Sementara itu, laman sesawang JPS melaporkan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 26.60 meter pada jam 8.15 pagi.
Empat sungai melepasi paras waspada pula ialah Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Pekan.
Pada Ahad, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang melibatkan tujuh negeri hingga 11 Disember ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku bermula 8 hingga 11 Disember di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Selain itu, turut diramal bermula 9 hingga 11 Disember di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Mersing dan Kota Tinggi di Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!