Jakim belum ada hasrat wujudkan Jabatan Pendidikan Islam - Mohd Na'im
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum berhasrat untuk mewujudkan Jabatan Pendidikan Islam bagi menguruskan pembelajaran agama tersebut di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pengurusan bagi aspek berkenaan ketika ini dilaksanakan pihak terlibat.
“Buat masa ini, institusi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pondok, madrasah dan tahfiz berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa negeri dan di bawah penyelarasan Bahagian Pendidikan Jakim.
“Jakim juga sentiasa bekerjasama erat dengan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkuasa agama negeri dalam pengurusan institusi berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang bertanyakan sama ada Jakim mempunyai cadangan untuk mewujudkan Jabatan Pendidikan Islam bagi menguruskan pembelajaran umat Islam di Malaysia.
Sementara itu, menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi sama ada kerajaan bercadang untuk menambah kuota guru KAFA di seluruh negara, Mohd Na'im berkata, Jakim sentiasa membuat unjuran terhadap jawatan dan penambahan guru agar seimbangan antara nisbah pengajar dan premis.
Menurutnya, kerajaan melalui Jakim selaku agensi yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan KAFA sentiasa meneliti dan membuat perancangan terhadap penambahan guru bagi menampung kekurangan tenaga pengajar dan menambah baik pengajaran dan pembelajaran berkenaan.
“Sejak 2021 Jakim sentiasa membuat permohonan penambahan kuota guru KAFA untuk keperluan seluruh negara.
“Walau bagaimanapun, keputusan sepenuhnya adalah tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Kewangan (MoF) berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!