Negara-negara Arab sambut baik perkembangan di Syria
ISTANBUL - Beberapa negara Arab menyambut baik perkembangan terkini di Syria yang menyaksikan tampuk pimpinan Bashar al-Assad digulingkan, sambil menyeru langkah-langkah untuk memastikan kestabilan, pembangunan dan mengelakkan huru-hara yang berterusan, lapor Agensi Anadolu.
Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan pihaknya sedang "memantau perkembangan di Syria" dan berpuas hati dengan langkah positif yang diambil untuk melindungi rakyat Syria, mencegah pertumpahan darah, serta memelihara institusi dan sumber negara.
Kerajaan terbabit menggesa komuniti antarabangsa untuk "bersama rakyat Syria dan bekerjasama dengan mereka dalam hal yang memenuhi aspirasi mereka serta tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara itu."
Di Qatar, Kementerian Luar menekankan keperluan untuk memelihara institusi negara dan mengekalkan perpaduan bagi mengelakkan kekacauan.
Ia turut mengulangi komitmen Qatar untuk menyelesaikan krisis Syria selaras dengan keabsahan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2254, yang bertujuan memelihara perpaduan, kedaulatan, dan kemerdekaan Syria.
Kementerian Luar Bahrain turut menyuarakan sokongan dengan menegaskan komitmennya terhadap kestabilan, kedaulatan, dan integriti wilayah Syria.
Kenyataan itu menyeru semua pihak di Syria untuk mengutamakan kepentingan negara serta memastikan institusi awam dan infrastruktur penting dilindungi.
Sementara itu, Mesir melalui Kementerian Luarnya memberi tumpuan terhadap perkembangan di Syria, sambil mengulangi sokongan terhadap kedaulatan dan perpaduan rakyatnya.
Kaherah menggesa semua pihak di Syria untuk memelihara sumber negara, mengutamakan kepentingan nasional dan memulakan proses politik bagi mencapai perdamaian dalaman serta memulihkan kedudukan Syria di peringkat serantau dan antarabangsa.
Raja Jordan, Raja Abdullah II menegaskan sokongan negaranya terhadap rakyat Syria dengan menghormati pilihan mereka serta menekankan keperluan untuk mengutamakan keselamatan dan kestabilan bagi mengelakkan kekacauan.
Beliau turut menekankan peranan Jordan yang menjadi tuah rumah kepada pelarian Syria dan menyediakan perkhidmatan penting sepanjang sedekad lalu.
Di Iraq, jurucakap kerajaan Basim al-Awadi berkata Iraq sedang memantau rapat perkembangan di Syria dan berinteraksi dengan rakan kongsi antarabangsa bagi mempromosikan kestabilan dan keselamatan.
Kenyataan itu menegaskan kepentingan untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman Syria bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk.
Presiden Palestin melalui agensi berita rasmi WAFA mengulangi solidariti dengan rakyat Syria, menekankan kepentingan mengembalikan peranan Syria di rantau ini.
Penggulingan rejim Assad berlaku selepas kumpulan antirejim memperoleh kejayaan besar dengan menawan Damsyik pada Ahad, menandakan kejatuhan pemerintahan Parti Baath sejak 1963.
Assad dan keluarganya dilaporkan melarikan diri ke Moscow, di mana mereka diberikan suaka, menurut agensi berita Rusia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!