Sibuk selamatkan orang, anak isteri di rumah hampir tenggelam

Rizalman (kiri) dibantu pegawai dan anggota polis yang lain membersihkan barangan yang musnah akibat banjir di Taman Sri Bayu, Tumpat pada Isnin.
Rizalman (kiri) dibantu pegawai dan anggota polis yang lain membersihkan barangan yang musnah akibat banjir di Taman Sri Bayu, Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - "Kami sedang sibuk selamatkan dan pindahkan orang kampung. Anak, isteri di rumah pula hampir tenggelam kerana air naik terlalu cepat." Demikian luahan Inspektor Rizalman Hassan yang tinggal di Taman Sri Bayu di sini.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berkata, pada 29 November lalu air naik terlalu cepat susulan limpahan Sungai Golok serta air laut pasang sehingga menyebabkan seluruh rumah di kawasan Taman Sri Bayu ditenggelami banjir.

Rizalman berkata, kawasan perumahan ini pernah dilanda banjir namun tidak seteruk itu apabila paras air di dalam rumah mencecah 0.7 meter.

Zulkifli (dua dari kanan) serta yang lain untuk turut sama bermandi peluh membantu kerja-kerja membersih kawasan.
Zulkifli (dua dari kanan) serta yang lain untuk turut sama bermandi peluh membantu kerja-kerja membersih kawasan.

"Sebaik sahaja selesai pindahkan orang kampung saya terus bergegas pulang ke rumah untuk membawa isteri serta dua anak berusia empat dan enam tahun berpindah ke tempat selamat.

"Saya terpaksa memangku kedua-dua anak sambil meredah banjir bersama isteri. Semua dokumen penting, dua buah motosikal, barangan elektrik dan sebagainya tidak sempat diselamatkan kerana sepanjang tujuh tahun menyewa di sini, inilah kejadian pertama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.

Rizalman memberitahu, dia serta keluarga sudah seminggu menumpang di Balai Polis Pengkalan Kubor kerana urusan mencuci dan mengemas rumah masih belum dapat disiapkan sepenuhnya.

Sementara itu, Muhammad Akram Hasbullah dari Balai Simpangan pula berkata, pada tahun 2014 air tidak memasuki rumahnya tetapi kali ini banjir mencecah 0.7 meter di dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja membersihan persekitaran rumah anggota yang terjejas dilakukan secara bergotong-royong.
Kerja-kerja membersihan persekitaran rumah anggota yang terjejas dilakukan secara bergotong-royong.

"Kebetulan semasa kejadian saya sedang bertugas. Jadi tidak sempat selamatkan apa-apa, saya cuma pulang ke rumah selepas air surut sepenuhnya dan mendapati semuanya musnah serta tidak sempat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Tumpat, Inspektor Zulkifli Mohamad memberitahu, rumahnya di Kota Bharu turut ditenggelami banjir, namun melihat nasib yang menimpa 88 anggota di Taman Sri Bayu mendorongnya serta yang lain untuk turut sama bermandi peluh membantu kerja-kerja membersih kawasan.

Menurut beliau, banjir kali ini sangat luar biasa dan semasa air naik anggota kebanyakkannya sedang bertugas memindahkan penduduk terjejas.

"Sebab itulah mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda sendiri," ujarnya.

Pada 29 November lalu air naik terlalu cepat ekoran limpahan Sungai Golok serta air laut pasang sehingga menyebabkan seluruh rumah di kawasan Taman Sri Bayu, Tumpat ditenggelami banjir.
Pada 29 November lalu air naik terlalu cepat ekoran limpahan Sungai Golok serta air laut pasang sehingga menyebabkan seluruh rumah di kawasan Taman Sri Bayu, Tumpat ditenggelami banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!