Laporan interim pemisahan kuasa AG, Pendakwa Raya dibentang tahun depan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan interim mengenai pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, ia berdasarkan dapatan kajian empirikal yang dibuat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui jawatankuasa khas ditubuhkan.

Menurutnya, kajian itu merupakan antara kesungguhan kerajaan untuk membuat reformasi termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Mengenai kajian empirikal oleh pasukan petugas khas itu, ia telah dilakukan di Ottawa dan Toronto, Kanada serta Melbourne dan Canberra, Australia, masing-masing pada 6 hingga 9 Mei dan 3 hingga 6 Jun lalu.

“Semasa kajian empirikal dijalankan, pasukan itu memperoleh maklumat dan data yang komprehensif dan menyeluruh yang memberi penekanan kepada ‘big picture’ dalam peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di negara kita.

“Negara yang akan dikaji oelh pasukan petugas khas ialah United Kingdom (UK) yang merupakan penutup kepada kajian empirikal, akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Kulasegaran ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama
Kulasegaran ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai status terkini usaha pemisahan peranan AG dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Teresa mengenai faktor kerajaan mengambil masa lama untuk melaksanakan pemisahan kuasa berkenaan, Kulasegaran menjelaskan ia memerlukan perbincangan dengan pelbagai pihak.

Katanya, perbincangan itu melibatkan pemegang taruh dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan isu tersebut.

“Beberapa NGO kerap kali datang untuk mendapatkan penerangan dan sebagainya,” ujar beliau.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) sebelum ini meneruskan usaha menyegerakan agenda pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke peringkat Parlimen pada penggal tahun hadapan.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara itu antara agenda yang diketengahkan dalam Mesyuarat KRPPM-IGAR kali kelima yang berlangsung pada Julai lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!