Tun M perlu dikenakan denda sebab kehilangan Batu Puteh - Puad Zarkashi

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dikenakan denda sekiranya didapati bersalah susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara sinis berkata, denda RM1,000 sudah memadai sebagai ‘ganti rugi’ kerana menjual kedaulatan negara dan simbol pengajaran untuk generasi akan datang.

“Menurut (Datuk) A Kadir Jasin (tokoh wartawan veteran) iaitu orang kuat Tun M, lebih afdal jika kerajaan Malaysia mendapatkan ganti rugi kerana kehilangan Batu Puteh. Tidak memadai dengan mendakwa Tun M sahaja.

“Nak tanya Kadir Jasin, ganti rugi dari siapa? Dari Singapura? Malaysia tak pasal-pasal membayar ganti rugi kepada Singapura kerana projek HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi) dibatalkan oleh Tun M.

“Sebab itu Tun M mesti disiasat dan dikenakan tindakan. Apakah mungkin ada kaitan membatalkan semakan kehakiman Batu Puteh dengan setuju membatalkan projek HSR?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Disebabkan itu jelas Mohd Puad, pendakwaan terhadap Dr Mahathir amat penting agar lebih banyak misteri terbongkar.

Malah katanya, denda perlu dikenakan sebagai simbol pengajaran untuk generasi akan datang agar tidak menjual maruah negara kerana dendam politik.

Pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

A Kadir pada Sabtu pula menyeru kerajaan untuk mendapatkan ‘ganti rugi’ bagi Batu Puteh, mengambil kira hubungan baik dengan Singapura, berbanding hanya menyiasat Dr Mahathir.

Jelasnya, menggunakan penyelesaian diplomatik lebih bermanfaat kepada Malaysia, memandangkan konteks sejarah dan undang-undang kompleks berkisar kedaulatan Batu Puteh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!