Kebersihan Bandaraya Diraja Klang: Selangor ambil serius teguran Sultan Selangor
SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengambil serius teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang prihatin terhadap isu kebersihan sungai, longkang tersumbat serta banjir kilat di Klang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri berusaha keras menyelesaikan isu berkenaan bagi menjaga imej Klang berstatus bandar diraja selain menjadi pintu masuk pelancong kapal pelayaran dari Pelabuhan Klang.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memahami keluhan rakyat isu banjir kilat yang telah dibincangkan secara panjang lebar melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
"Banyak projek tebatan sedang berjalan namun kita perlu nyatakan projek bukan boleh siap dalam masa sehari.
"Berkaitan Sungai Klang kotor, sekarang keadaannya semakin bersih hingga ada buaya dan memerang menunjukkan kualiti air semakin baik.
"Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan ini, kerajaan negeri dengan Selangor Maritim Gateway akan terus bekerjasama untuk meningkatkan lagi kualiti air di Sungai Klang," katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Selangor semasa Majlis Perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang di Klang pada Jumaat.
Titah baginda, walaupun bangga melihat nilai sejarah serta pembangunan pesat di bandar raya itu namun terdapat banyak kawasan masih kotor dan tidak teratur termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.
Sultan Sharafuddin bertitah sungai yang dipenuhi sampah sarap dan longkang-longkang tersumbat yang tidak dijaga dengan rapi telah mengakibatkan banjir sering berlaku di bandar raya itu.
Baginda bertitah sudah berkali-kali menegur serta menasihati pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah efektif dan perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir di Bandar Raya Diraja Klang dan beberapa daerah lain di Selangor, namun sehingga kini, banjir tetap berlaku berulang kali setiap tahun.
Bagi isu kebersihan sampah di Klang, Suee Lim berkata, pihaknya mengadakan satu mesyuarat bersepadu bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian terbaik.
"Kita akan fikirkan usaha menjadikan longkang lebih bersih di Klang selain sampah boleh dikutip secara teratur dan lebih kerap serta isu-isu lain-lain.
"Pertambahan bajet mungkin akan disalurkan bagi tujuan itu selain penggunaan rizab jika perlu bagi tambah baik tersebut," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kebanjiran warga asing di Klang susulan kepesatan sektor industri antara faktor menyumbang kepada isu kebersihan di Klang.
"Data menunjukkan lebih 250,000 warga asing terdapat di Klang disebabkan banyak kawasan industri.
"Tabiat menjaga kebersihan rendah dalam kalangan warga asing menyumbang kepada isu sampah.
"Jam 9 pagi sapu, jam 10.30 pagi sudah kotor semula jadi kita minta majikan untuk bersama-sama membantu didik pekerja asing ini untuk menjaga kebersihan," katanya.
Pada masa sama, beliau memohon warga Klang bekerjasama dengan ubah mentaliti memastikan bandar raya lebih bersih, lebih indah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!