[VIDEO] Kes dera, abai kanak-kanak banyak libatkan taska tidak berdaftar - Noraini
KUALA LUMPUR - Sebanyak 4,424 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan setakat Ogos lalu dengan sebahagian besarnya melibatkan insiden di taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berdaftar atau haram.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, daripada jumlah itu, hanya tiga kes dilapor membabitkan premis yang berdaftar dengan kementeriannya.
“Kita sebagai rakyat memang marah apabila dengar kes penderaan terhadap kanak-kanak. Kami di kementerian mengakui memang ia masih berlaku.
"Kebanyakan kes penderaan ini berlaku di tidak berdaftar yang tidak diketahui pun wujud oleh kementerian.
“Jika mereka mendaftar dengan kementerian atau taska tidak berdaftar, tetapi dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Notis Peringatan sudah dikeluarkan supaya tak beroperasi sehingga selesai proses pendaftaran,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai penyelesaian kes penderaan dan pengabaian yang dikesan berlaku di taska di seluruh negara.
Sementara itu, menjawab soalan asal Muhammad Bakhtiar mengenai usaha dilakukan kementeriannya dalam menangani kes penderaan bayi dan kecuaian di pusat tersebut supaya sentiasa dipantau dan tindakan wajar dapat diambil, Noraini menjelaskan pelbagai inisiatif dilaksanakan.
Menurutnya, antara inisiatif tersebut ialah mengeluarkan Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Di Taman Asuhan Kanak-Kanak Berdaftar yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 dan mengarahkan pegawai diberi kuasa untuk jalankan pemeriksaan berkala.
“Usaha untuk mengurangkan risiko dan bilangan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak serta isu berkaitan keselamatan kanak-kanak secara amnya, adalah harus dipikul bersama oleh semua pihak.
“Ini termasuklah pihak Kerajaan, komuniti serta individu. Sifat ambil tahu, ambil cakna dan peka dengan keadaan dan keperluan kanak-kanak di sekeliling perlu disemai di kalangan masyarakat kita agar bukan sahaja dapat memastikan kemaslahatan yang baik untuk kanak-kanak, malah turut boleh mengeratkan perpaduan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!