[VIDEO] PAC minta penjelasan siasatan HRD Corp diberikan NFA
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta penjelasan berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengklasifikasikan siasatan kes Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara tersebut antara yang terkandung dalam laporan PAC terhadap tindakan susulan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp berhubung pengurusan dana latihan dan keberkesanan program latihan perbadanan itu yang dibentangkan di Dewan rakyat di sini pada Isnin.
Pembentangan itu dibuat Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga ahli PAC mewakili pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Saya mahu sentuh mengenai kedudukan kes HRD Corp oleh SPRM selepas laporan PAC dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan Julai lalu, di mana, Jawatankuasa ini telah dimaklumkan oleh SPRM dalam prosiding tindakan susulan bahawa kes HRD Corp diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).
“PAC berpendirian bahawa Ketua Audit Negara tidak akan membuat cadangan tersebut tanpa alasan kukuh dan sememangnya dalam prosiding PAC juga kita syaki ada unsur salah guna kuasa dalam HRD Corp.
“Ini adalah satu lagi yang amat menghairankan dan pelik kerana LKAN telah menyatakan ada unsur jenayah atau salah guna kuasa dalam HRD Corp malah PAC sendiri melalui 10 prosiding yang diadakan bermula Oktober 2023 hingga Mac 2024 mendapati ada unsur salah guna kuasa dalam HRD Corp.
“Kita sebenarnya tidak berniat jahat atau ingin menuduh sesiapa tapi kita mahu martabat HRD Corp diangkat semula, selain dapat memberi keyakinan orang ramai terhadap perbadanan ini,” katanya.
LKAN Siri 2/2024 yang dibentangkan pada Julai lalu mendapati tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
PAC dalam masa sama turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan dalam Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Dalam pada itu, Tze Tzin dalam masa sama berkata, PAC juga mengesyorkan supaya jawatan Pegawai Undang- undang dan Setiausaha Syarikat haruslah individu yang berlainan untuk memastikan tanggungjawab berkaitan dapat dijalankan dengan sebaiknya.
“PAC kekal dengan pendirian tetap mahu KESUMA mengambil langkah segera mengasingkan jawatan ini kepada dua individu bagi memastikan tadbir urus yang baik di dalam HRD Corp,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!