[VIDEO] Bekas suami pukul Jahidah sehingga koma dipenjara 10 tahun
JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin 46, sehingga koma, tiga tahun lalu.
Hakim, Fatimah Zahari membuat keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan terhadap Rosmaini Abd Raof, 41, selepas perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.
Jelas beliau, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
"Selepas mendengar, menimbangkan dan meneliti semua keterangan, dokumen dan hujahan bertulis semua pihak, selain mitigasi pembelaan dan hujahan pendakwaan, tertuduh disabitkan bersalah.
"Oleh itu, tertuduh dihukum penjara 10 tahun penjara bermula tarikh sabitan hari ini," kata hakim.
Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Mohd Salleh Togimin memohon mahkamah memberikan hukuman ringan ke atas tertuduh berikutan anak guamnya mempunyai sakit jantung.
"Tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap menanggung dua isteri dan lapan anak yang berusia antara dua hingga 19 tahun.
"Sebelum ini tertuduh ditahan di penjara selama setahun dua bulan dan keluarga terpaksa mengumpul wang untuk dijamin keluar, sebelum ini," katanya.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu.
Selain Mohd Salleh, tertuduh turut diwakili Kamal Hisham Jaafar dan Aina Kamila Zalizam.
Pada 3 November lalu, keputusan kes berkenaan ditangguhkan ke hari ini selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke Hospital Pendang akibat sesak nafas.
Pada 16 Januari lalu, Rosmaini yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah sehingga koma, tiga tahun lalu, untuk membela dirinya.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
Dalam pada itu adik kepada Jahidah, Fauziah Nordin, dilihat hadir seawal jam 8 pagi di pekarangan mahkamah bagi mengikuti keputusan kes berkenaan.
Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah, Muhammad Hazeem Mohd Norizan dan Syufri A Samad, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!