Perkhidmatan bas baharu di Kuantan dijangka beroperasi Mei 2025
KUANTAN - Syarikat baharu yang mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti di daerah ini dijangka memulakan operasinya Mei tahun hadapan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, pengambilalihan itu susulan keputusan Rapid Kuantan tidak meneruskan perkhidmatan mereka berdasarkan maklumat daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurutnya, syarikat baharu yang akan mengambil alih perkhidmatan itu belum diputuskan setakat ini dan masih di peringkat penilaian.
"Difahamkan Rapid Kuantan tidak masuk tender bagi menyambung operasi atas alasan kos," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Universiti UCYP dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Isnin.
Razali berkata, sebanyak 16 laluan sedia ada masih dikekalkan.
"Syarikat baharu juga turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada penumpang," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini telah mengadakan perbincangan bersama Rapid Kuantan dan APAD bagi mendapatkan penjelasan mengenai operasi bas di Kuantan.
APAD membentangkan tender terbuka untuk Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti 2.0 (SBST 2.0) di Kuantan untuk tempoh tahun 2025 sehingga 2030 bagaimanapun Rapid Kuantan tidak menyertai tender tersebut.
Rapid Kuantan bagaimanapun perlu meneruskan perkhidmatan mereka sehingga Surat Setuju Terima (SST) tender berkenaan dikeluarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!