Dapatkan bukti penting kes 1MDB, pasukan peguam Najib fail permohonan 1782 di New York

 Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak bertindak memfailkan permohonan 1782 di New York bagi mendapatkan bukti penting susulan pengakuan bersalah bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner. Foto fail Bernama
Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak bertindak memfailkan permohonan 1782 di New York bagi mendapatkan bukti penting susulan pengakuan bersalah bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak bertindak memfailkan permohonan 1782 di New York bagi mendapatkan bukti penting susulan pengakuan bersalah bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Leissner mengaku di bawah sumpah bahawa dia telah memberikan rasuah kepada pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, permohonan 1782 adalah mekanisme undang-undang yang membolehkan pihak-pihak mendapatkan bukti yang berada di Amerika Syarikat untuk digunakan dalam prosiding undang-undang di luar negara.

Tegas beliau, langkah tersebut merupakan komitmen teguh Najib untuk mendedahkan dan membentangkan kebenaran terutama selepas pengakuan Leissner mengenai amalan rasuah.

"Ia mempunyai implikasi besar terhadap pertuduhan yang dihadapinya di Malaysia, lebih-lebih lagi apabila saksi-saksi dalam pendakwaan terhadap Najib dikatakan telah disogok oleh Leissner.

"Permohonan ini bertujuan untuk mengambil keterangan Leissner dan wakil Goldman Sachs serta mendapatkan bukti dokumentari yang berkaitan dengan dakwaan rasuah pegawai-pegawai 1MDB serta pegawai kerajaan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Muhammad Shafee berkata, hakim mahkamah Amerika Syarikat yang mendengar permohonan 1782 pada awalnya telah meluluskan permohonan Najib untuk mengeluarkan sepina.

Jelas beliau, ia merupakan satu langkah penting untuk mendapatkan bukti yang boleh menjelaskan fakta utama dan memberikan bukti yang boleh membebaskan Najib.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ia juga menentukan sama ada saksi yang memberi keterangan terhadapnya di Malaysia termasuk dalam kalangan individu yang disebut oleh Leissner.

Namun begitu katanya, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat telah bertindak campur tangan dalam prosiding 1782 itu dengan meminta penangguhan iaitu menghalang Goldman Sachs dan Leissner daripada mematuhi sepina tersebut.

Kata beliau, peguam kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa iaitu Marc Agnifilo menggambarkan tindakan DOJ itu seolah-olah mereka bertindak sebagai peguam kepada Goldman Sachs.

Jelas beliau, tindakan DOJ tersebut bukan sebagai pihak yang memperjuangkan keadilan dan kedaulatan undang-undang.

"Campur tangan ini menyebabkan Marc Agnifilo membuat permohonan rasmi kepada hakim dalam kes jenayah Roger Ng untuk menarik balik perintah perlindungan dan akan membolehkan Roger Ng memberikan bukti yang boleh membebaskan Najib.

"Dalam permohonan tersebut, Marc Agnifilo secara jelas menyatakan bahawa beliau secara etika dan moral berkewajiban untuk mendedahkan bukti penting yang boleh membantu pembelaan Najib.

"Namun DOJ telah membantah dengan alasan bahawa pendedahan bukti itu akan menjejaskan pendakwaannya yang sedang berjalan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!