[VIDEO] 'Kami takkan maafkan bekas suami Jahidah'

A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan wanita yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 46 disifatkan oleh adiknya seperti mayat hidup kerana terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri.

Berkongsi keadaan kakaknya itu, Fauziah 43 tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika memberikan kenyataan impak mangsa sewaktu prosiding keputusan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Fauziah berkata, dia menguruskan keperluan harian termasuk mandi, makan dan rawatan hospital sejak kakaknya itu koma sejak empat tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Fauziah turut menguruskan anak tunggal kakaknya, Eshan Nufail, 3 yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) lambat bercakap dengan berjalan.

Fauziah (kanan) ditemui di luar Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Fauziah (kanan) ditemui di luar Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

"Sejak hari pertama kakak terlantar di hospital, saya yang menjaganya sehingga hari ini. Dia tidak boleh bercakap, tidak boleh bergerak dan tidak memberi sebarang respons. Begitulah keadaan dia sejak empat tahun lalu.

"Semuanya saya uruskan, dia mengandung saya uruskan. Sehingga hari ini, anak dia status OKU. Perkembangan anak Jahidah lambat, walaupun dia sudah berusia tiga tahun. Sekarang baru boleh berjalan tetapi masih tidak boleh bercakap.

"Saya dan keluarga tidak dapat memaafkan perbuatan tertuduh kepada Jahidah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kakak sulung daripada tujuh beradik itu masih bergantung kepada susu khas yang perlu diberikan setiap empat jam sekali dan diganti lampin pakai buang.

Keadaan wanita yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 46 disifatkan oleh adiknya seperti mayat hidup kerana terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri. Foto Bernama
Keadaan wanita yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 46 disifatkan oleh adiknya seperti mayat hidup kerana terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri. Foto Bernama

"Saya tidak dapat tahan sebak, semua hal-hal peribadi kakak, saya uruskan termasuk bank sehingga urusan fasakh.

"Anak kakak masih dalam perhatian pakar, kerana perkembanganya lambat," katanya.

Dalam pada itu, Fauziah ketika ditemui di luar mahkamah bersyukur dengan keputusan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada bekas suami wanita itu, Rosmaini Abd Raof, 41.

Fauziah, memberitahu dia sekeluarga lega dengan keputusan terbabit yang disifatkan membela nasib Jahidah yang kini terlantar di atas katil.

Jelasnya, keluarganya kini mahu membina hidup baharu dan akan terus memandang ke hadapan dengan tumpuan sepenuhnya diberikan untuk membesarkan anak tunggal Jahidah iaitu Eshan Nufail.

"Alhamdulilah kes sudah selesai dan kami sebak sebenarnya sebab lama tunggu lama untuk tahu keputusan mahkamah. Syukur dapat keputusan hari ini.

"Penat lelah kami sekeluarga datang dari Sabah dan Seremban ke Johor Bahru akhirnya terbalas. Hampir tiga tahun kami tunggu untuk mengetahui keputusan mahkamah.

"Saya dan keluarga akan jaga kakak Jahidah, semoga cepat sembuh dan besarkan anaknya dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!