Keadaan Laguna Sri Tujoh dipenuhi ikan mati akibat banjir
Seramai 90 penternak ikan dalam sangkar di Laguna Sri Tujoh di sini mengalami kerugian keseluruhan lebih RM1 juta apabila semua ternakan mereka mati akibat limpahan air tercemar dalam kejadian banjir gelombang pertama baru-baru ini.
Pengerusi Perternak Laguna Sri Tujoh, Mohd Saifullah Che Mat berkata kejadian itu disedari penternak tiga hari lepas apabila ikan disangkar masing-masing mati secara berperingkat.
"Awalnya hanya ikan kerapu yang mati dan kami tidak jangka ikan siakap juga akan mati kerana biasanya ia lebih lasak dan mampu bertahan walaupun berlaku percampuran air banjir.
"Namun dua hari kemudian ikan siakap yang dibela dalam kira-kira 2,000 buah sangkar di kawasan ini turut alami perkara sama dan semalam keseluruhan ternakan mati,"katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya kebanyakan ikan siakap yang mati itu sudah boleh dijual dengan anggaran empat kilogram seekor selain ikan yang bersaiz kecil yang dibela untuk jualan bulan puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!