Takiyuddin kemuka usul mahu bahaskan titah adendum
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membincangkan isu titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi surat bertarikh 9 Disember itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas memohon kebenaran tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menurutnya, perbahasan itu penting bagi semua pihak mengetahui sama ada wujud atau tidak perkara berkenaan, ditambah pula tular titah adendum bertarikh 29hb Januari 2024 yang ditujukan kepada Peguam Negara.
“Pihak kerajaan selama ini tidak pernah secara jelas dan tanpa was-was menafikan mahupun mengesahkan kewujudan titah tersebut apabila disoal sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Rakyat.
“Datuk Mohamad Nizar Najib (anak Najib) telah mengikrarkan afidavit menyatakan pada 17 Ogos 204, beliau dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang juga Sultan Pahang, satu titah adendum seperti yang diserahkan Baginda kepada Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2014 di Istana Negara.
“Pada 2 Disember lalu, Mohamad Nizar telah diperkenankan Sultan Pahang menggunakan dokumen tersebut untuk tujuan di mahkamah. Perkara ini tertentu kerana ia keputusan petisyen pengampunan Datuk Seri Najib dan pelaksanaan titah adendum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengenainya.
“Perkara ini berkepentingan orang awam kerana kegagalan melaksanakan apa-apa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong merupakan satu penderhakaan yang boleh mengakibatkan krisis Perlembagaan,” katanya menerusi surat tersebut.
Takiyuddin menambah, perkara tersebut perlu disegerakan kerana bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak sepatutnya dipenjarakan lagi, sebaliknya ditahan di rumah selari dengan titah tersebut.
Isu titah adendum melibatkan Najib terus menjadi kontroversi susulan belum ada jawapan jelas mengenainya diberikan ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!