Kes 1MDB, komplot DOJ jatuhkan kerajaan - Muhammad Shafee

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa penglibatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermotifkan politik.

Beliau berkata, penglibatan dan pengumuman yang dibuat oleh DOJ berhubung skandal itu pada 2016 adalah satu komplot menjatuhkan kerajaan pada masa itu.

Kata beliau, semua itu dilaksanakan DOJ sebelum berlangsungnya pilihan raya pada 2018.

"Kita semua percaya bahawa ia dibangunkan (direka) oleh individu-individu yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat.

"Mereka mahu satu perubahan ketara di Malaysia dan ia dilakukan ketika di bawah kerajaan demokratik pimpinan Obama," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Muhammad Shafee berkata, sehingga kini iaitu proses prosiding 1MDB berlangsung, kes tersebut tidak pernah sehingga ke peringkat 'trial'.

Malah menurutnya, kes 1MDB melibatkan Najib masih sebagai pertuduhan sehingga sekarang.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia perlu tahu bahawa Amerika Syarikat terlibat dalam semua jenis perubahan rejim pemerintahan di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Jangan diperbodohkan lagi kerana ia sangat jelas. Malah sebab itu juga mereka (Amerika Syarikat) tidak mahu kita (Malaysia) rapat dengan China.

"Mereka (Amerika Syarikat) mahu menjadi 'Big Brother'.

"Tetapi malangnya pada 2016 atau awal dari itu, orang-orang kita sendiri termasuk orang berkepentingan pergi ke Amerika Syarikat dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberikan bermacam-macam maklumat yang tidak betul supaya rejim pemerintahan kita (Malaysia) bertukar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!