Dakwaan skandal rasuah: 15 individu termasuk ADUN Sabah, pemberi maklumat direkod keterangan

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PETALING JAYA - Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang pemberi maklumat antara 15 individu direkod keterangan berkaitan video tular dakwaan skandal rasuah melibatkan ADUN Sabah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun individu yang mendakwa sebagai pemberi maklumat itu tidak menyerahkan sebarang bukti disebabkan masih menuntut perlindungan imuniti daripada dikenakan sebarang tindakan.

"Kesemua individu berkenaan telah selesai direkodkan keterangan pada Sabtu lalu.

"Selain itu, SPRM juga menerima laporan berkaitan pemberi maklumat itu didakwa bersekongkol dengan seorang pegawai kerajaan negeri Sabah berhubung isu penerokaan mineral," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas perasmian penutup Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Kelana Jaya pada Isnin.

Katanya, siasatan berkaitan kes ini dijalankan secara adil dan profesional.

Media sebelum ini melaporkan seorang individu telah bertemu dengan pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu berkaitan video tular dakwaan skandal rasuah.

Peguam kepada pemberi maklumat itu dilaporkan memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang sejumlah wang ketika pertemuan itu.

Artikel Berkaitan:

Azam sebelum ini meminta agar individu berkenaan membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!