[VIDEO] Kes Ebit Lew: Saksi muntah, jantung berdegup laju tak dapat teruskan perbicaraan

A
A
A

TENOM - Saksi pendakwaan kesembilan dalam kes Ebit Lew tidak dapat meneruskan perbicaraan pada petang Isnin kerana mengalami masalah kesihatan dan kini masih berada di hospital.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad sebelum perbicaraan dimulakan selepas ditangguhkan pada jam 12 tengah hari Isnin.

"Untuk makluman mahkamah, saksi kesembilan semasa rehat beliau telah muntah dan mengatakan jantung berdegup laju dan sekarang berada di hospital," katanya di Mahkamah Majistret Tenom di sini, pada Isnin.

Bagi meneruskan perbicaraan tersebut, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah membenarkan saksi ke-12 untuk memberikan keterangan pada sesi petang.

"Pihak pendakwaan ada saksi jurugambar untuk memberikan keterangan pada petang ini," kata Azizah.

Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tawau.
Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tawau.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-12 dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa dia telah mengambil lapan gambar di lokasi kejadian termasuk gambar katil tempat pengadu bermesej.

Koperal Andria Anak Emepeny yang merupakan jurugambar Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditugaskan untuk mengambil gambar rumah pengadu dalam kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pemeriksaan utama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin meminta saksi memberi penerangan terhadap lapan gambar yang diambilnya di lokasi kejadian.

Saksi ke-12 dipanggil memberi keterangan selepas saksi kesembilan tidak dapat meneruskan memberi keterangan kerana tidak sihat dan masih di hospital.
Saksi ke-12 dipanggil memberi keterangan selepas saksi kesembilan tidak dapat meneruskan memberi keterangan kerana tidak sihat dan masih di hospital.

Dalam keterangannya, Andria memaklumkan dia telah mengambil gambar rumah dari jalan utama, dari bahagian depan, gambar rumah dari jarak dekat, ruang tamu dan juga gambar bilik tidur utama.

"Gambar keenam, gambar katil tempat mangsa bermesej, gambar ketujuh, gambar kepala katil dan langsir dan gambar kelapan, gambar kepala katil jarak dekat," katanya.

Perbicaraan ditangguhkan dan disambung semula pada jam 10 pagi dengan keterangan saksi kesembilan.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizah, Analia dan Rasyidah Murni Adzmi, manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!